Kamurang yang pernah pigi ke Courts Malaysia di Tawau, sila datang klinik buat saringan

Orang ramai yang pernah berkunjung ke premis Courts Malaysia di Kubota Central, Mukim Sri Tanjung Tawau pada 22 Mac 2021 sehingga 3 April 2021 dikehendaki hadir ke klinik-klinik kesihatan awam berdekatan untuk menjalani saringan COVID-19.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pada 3 April 2021, terdapat dua kluster direkodkan.

“Salah satu kluster adalah Kluster Kubota Sentral di Tawau yang menambah dua kes baharu positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif sebanyak sembilan kes.

“Kes indeks merupakan lelaki berumur 25 tahun dan jurujual di premis kelengkapan rumah. Kes indeks disahkan positif setelah menjalani saringan bergejala di salah sebuah klinik pada 29 Mac 2021,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, saringan di tempat kerja mendapati enam kes positif sementara dua kes lagi melalui saringan kontak rapat iaitu ahli keluarga kepada rakan sekerja. Aktiviti pengesanan kontak rapat dan punca jangkitan masih giat dijalankan.

Sementara itu katanya, Kluster Kg Simpang Tiga Merotai, Kalabakan dan Tawau pula mencatat tiga kes positif COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 10 kes.

“Kes indeks merupakan wanita berusia 44 tahun bersama anak lelaki, berumur 14 tahun yang tinggal di Kg Simpang Tiga Mukim Merotai. 

“Kedua-duanya disahkan positif menerusi saringan bergejala pada 25 Mac 2021 dan telah dimasukkan ke wad di pusat perubatan,” katanya.

Katanya, berdasarkan penelitian, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis kenduri meminang pada 17 Mac 2021 di Kg Pasir Putih.

Susulan kes itu katanya, daripada 36 orang yang disaring sejak 28 Mac 2021 hingga hari ini, 10 kontak rapat disahkan positif iaitu dua ahli keluarga dari Taman Sawit, Balung dan lapan orang lagi keluarga dari Kg Simpang Tiga Merotai. Aktiviti pengesanan kontak rapat sedang giat dijalankan.

Dalam pada itu, Masidi menjelaskan seperti yang diketahui umum, peningkatan penularan kes COVID-19 di Sabah adalah berpunca daripada majlis-majlis keramaian seperti perkahwinan, majlis kenduri-kendara dan majlis-majlis sosial yang lain. 

Oleh yang demikian katanya, Kerajaan Negeri akan membangunkan satu aplikasi dalam masa terdekat sebagai saluran untuk masyarakat mendaftarkan sebarang majlis sebagai pemakluman kepada kerajaan.

“Sabah mencatatkan sebanyak 73 kes baharu COVID-19 pada 3 April 2021 menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 54,989 kes.

“Jumlah pesakit COVID-19 sembuh adalah 35 menjadikan jumlah kumulatif 54,069 orang. Seramai 483 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 205 orang di hospital dan 278 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam,” katanya.

Menurutnya, bilangan pesakit dalam Unit Rawatan Rapi ialah seramai 28 orang dan 16 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *