Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menggesa Dewan Rakyat segera membahaskan isu pendedahan Pandora Papers awal hari ini, yang melibatkan beberapa nama besar dalam negara.
Sehubungan itu, pihaknya telah menghantar satu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
“Saya menggesa agar Dewan Rakyat segera membahaskan isu mendesak ini kerana ia telah menyebut beberapa nama besar dalam negara.
“Saya mohon usul ini dipertimbang dan dilulus untuk dibahaskan,” katanya dalam kenyataan.
Anwar berkata, isu itu juga melibatkan kepentingan rakyat kerana ia turut menyebut nama-nama tokoh politik kerajaan dan juga pembangkang.
Terdahulu, media melaporkan puluhan aset milik ketua negara dan kerajaan didedahkan oleh Pandora Papers, yang turut mengaitkan sebilangan rakyat Malaysia terkemuka lain dengan urusan perniagaan luar pesisir.
Awal hari ini, Malaysiakini melaporkan menerima maklumat daripada Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) bahawa nama Tengku Zafrul muncul sebagai pengarah Capital Investment Bank (Labuan) Ltd, sebuah bank butik yang diperbadankan dalam bidang kuasa luar pesisir Labuan, dalam sejumlah dokumen daripada firma guaman Panama terkemuka, Alemán, Cordero, Galindo & Lee (Algocal).
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi turut muncul dalam fail Algocal, yang bertindak sebagai ejen firma bernama Breedon Ltd di British Virgin Islands (BVI).
Pendedahan data itu, yang terbesar seumpamanya, melibatkan 2.94 terabait data yang diberikan secara rahsia kepada ICIJ.
Ia juga membabitkan hampir 12 juta dokumen dan rekod lain daripada 14 penyedia perkhidmatan luar pesisir yang menubuhkan dan menguruskan syarikat “shell” dan amanah di “syurga cukai” di seluruh dunia.

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Madius minta MITI perjelas langkah kerajaan tingkatkan KDNK Sabah dalam industri pembuatan
Kerajaan Perkukuh Kesalinghubungan Digital POIC Lahad Datu Melalui Pelan JENDELA