Geng pecah rumah tumpas di Semporna

Polis berjaya menumpaskan sekumpulan 12 lelaki disyaki aktif melakukan jenayah pecah rumah  dalam serbuan di kampung (Kg) Bangau-Bangau, Kg Panji dan Kg Tembok, di sini Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata pihaknya telah menerima satu laporan berhubung kes pecah rumah daripada seorang lelaki tempatan pada 5 September lalu.

“Lelaki berumur 43 tahun berkenaan membuat laporan di Balai Polis Semporna kira-kira jam 5 pagi selepas rumahnya di Taman Semporna Centre dipecah masuk melalui tingkap.

“Mangsa mengalami kerugian lebih kurang RM3,000 selepas komputer riba, telefon bimbit, jam tangan, beg, telekung, pengisar elektrik dan wang tunai sebanyak RM180 disyaki dicuri,”katanya.

Menurutnya, sebaik laporan tersebut, pihak polis bertindak menubuhkan satu pasukan ‘Task Force’ bagi mengesan suspek yang terlibat.  

“Hasil risikan serta maklumat awam, kesemua suspek yang terdiri tujuh warga tempatan dan lima warga asing berumur 17 hingga 53 tahun berjaya ditahan.

“Polis turut merampas 19 jenis barangan dipercayai hasil aktiviti jenayah pecah rumah yang dilakukan oleh kumpulan tersebut di sekitar daerah ini,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 457 kanun keseksaan bagi kesalahan pecah rumah dan Seksyen 411 kanun keseksaan iaitu menerima atau menyimpan harta curi.   

“Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 6 Oktober depan untuk siasatan lanjut,”katanya.

Farhan berkata, dengan tertangkapnya suspek tersebut, pihaknya percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 12 kes pecah rumah yang melibatkan kerugian lebih kurang RM20,000 di daerah ini.

“Pihak polis mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama orang awam yang telah menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya kesemua suspek terbabit.

“Orang awam dinasihatkan supaya tidak membeli barang yang tidak diketahui status yang dikhuatiri adalah hasil dari kegiatan jenayah,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *