APMM SABAH TAHAN 2 BOT JONGKONG

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah menahan dua bot jongkong selepas didapati gagal mengemukakan lesen bot dan lesen tamat tempoh dalam Operasi Khas ‘Ops Naga Timur 2’, di sekitar perairan daerah ini, semalam.

Pengarah APMM Sabah Kamaruszaman Abu Hassan berkata, kedua-dua bot jongkong itu ditahan pada kedudukan 0.59 batu nautika timur Pulau Gaya dan 0.88 batu nautika selatan Pulau Gaya antara jam 8.57 dan 10.30 pagi.

Katanya, dua bot peronda Maritim yang sedang melakukan rutin rondaan di sekitar perairan Kota Kinabalu memeriksa dua bot jongkong di lokasi berbeza di sekitar perairan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di bot pertama mendapati sembilan orang awak-awak termasuk tekong memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan selain lesen bot juga tamat tempoh.

“Pemeriksaan bot kedua didapati mereka gagal mengemukakan lesen bot manakala empat awak-awak termasuk tekong memiliki dokumen pengenalan sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kamaruszaman berkata, bot dan sembilan awak-awak termasuk tekong ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Sepanggar untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

“Empat bot kecil beserta enjin sangkut yang dimuat dalam bot jongkong itu turut dirampas untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Perikanan 1985 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002,” katanya.

Mengulas lanjut, Kamaruszaman berkata, pihaknya giat menjalankan Operasi Khas dikenali sebagai ‘Ops Naga Timur’ yang dilaksanakan sejak 1 Ogos tahun lalu.

“Maritim juga sentiasa melakukan risikan dan pemantauan untuk mengekang sebarang aktiviti mengebom ikan, pencerobohan bot nelayan asing yang mengaut hasil laut negara dan mengekang pencerobohan kawasan pelantar minyak oleh bot nelayan.

“Maritim tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu yang melanggar undang-undang dan tindakan akan diambil,” katanya.