GURU GUNA TIK TOK DAN YOUTUBE TARIK MINAT PELAJAR

KUALA LUMPUR: Trend generasi muda ketika ini yang gemar menggunakan aplikasi media sosial seperti TikTok, Instagram, dan YouTube untuk berinterakasi dan berkongsi rutin harian memberi ilham kepada guru-guru menggunakan pendekatan itu untuk sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

Ia juga untuk mengelakkan pelajar merasa mudah jemu dan angkat kaki  apabila mengikuti sesi  pembelajaran PdPR menerusi aplikasi seperti Telegram Google Meet dan Zoom Meeting yang memerlukan pelajar hanya duduk, mendengar dan sekali sekala menyampuk apabila tidak memahami sesuatu yang diajar.

Seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Lailatul Shahreen, Kangar, Perlis,  Norlida Muhd Pisol, 37, memilih menggunakan TikTok sebagai salah satu daripada medium untuk mengajar mata pelajaran Sejarah bermula minggu lepas.

“Ramai dalam kalangan pelajar saya gemar menggunakan aplikasi TikTok dan dari situ saya mendapat idea untuk  menggunakan aplikasi ini sebagai antara medium untuk mengajar, pendek kata, kita perlu didik golongan remaja dengan cara yang mereka suka,” katanya kepada Bernama baru-baru inil.

Norlida yang telah 15 tahun menjadi pendidik berkata kaedah pembelajaran itu bukan hanya mudah, tetapi menyeronokkan malahan pelajar turut teruja memberikan cadangan pemilihan lagu untuk menjadikan sesi PdPR itu lebih menarik.

Maklum balas yang diterima daripada pelajar  juga menyatakan bahawa aplikasi itu lebih memudahkan digunakan kerana mereka tidak perlu data (had internet) yang besar berbanding aplikasi media sosial lain.

Bagi tujuan itu juga Norlida sanggup membelanjakan kira-kira RM2,000 duit poket sendiri  bagi membeli alat peranti, peralatan studio dan menghias tiga studio mini di rumahnya agar pelajar tidak jemu apabila menonton video TikToknya.

“Saya buat semua ini hanya dengan satu niat iaitu agar pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran kerana bagi saya mata pelajaran Sejarah perlu dipelajari setiap hari… sehari sahaja tidak belajar, mereka boleh lupa,” katanya.

Paling membanggakan apabila akaun TikToknya Cikguida@ZINSygSakura turut dimuat turun, disimpan dan dikongsi bukan hanya oleh pelajar sendiri, tetapi oleh beberapa pelajar dari sekolah lain yang berminat dengan cara pembelajaran itu.

Salah seorang pelajarnya, Nor Arifah Alyaa Mohamad Asri,16, berkata dia teruja belajar Sejarah menerusi TikTok kerana menyeronokkan dan fakta sejarah lebih mudah untuk difahami dan diingati.

“Sebelum ini saya kurang minat Sejarah tetapi apabila Cikgu Norlida buat pembelajaran santai TikTok begini memang sangat menarik minat saya kepada mata pelajaran tersebut dan saya boleh mengulang tayangan video yang lengkap dengan soalan dan jawapan mengikut bab,” katanya.

Sementara itu bagi guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah menengah di Alor Setar, Kedah, Emily Syafirah Zamrod, 44,  beliau mengambil inisiatif mewujudkan saluran YouTube, “English Made Possible with Teacher Em” untuk menjadikan pembelajaran lebih menarik dan tidak membosankan.

“PdPR menggunakan aplikasi seperti ‘Google Classroom’ masih dilakukan untuk interaksi secara langsung dengan murid, namun kadang-kadang guru tidak ada kawalan ke atas murid dan mereka boleh meninggalkan sesi pada bila-bila masa apabila mereka bosan.

Bagi menarik minat murid-murid, saya mengambil inisiatif mewujudkan saluran YouTube dengan menghasilkan video berkaitan subjek Bahasa Inggeris termasuk memasukkan unsur sketsa di dalamnya,” katanya.

Menurutnya melalui YouTube, beliau dapat merakamkan video berkaitan agar boleh ditonton oleh pelajar pada bila-bila masa dan di mana sahaja mereka berada ketika mempunyai capaian internet.

Beliau turut merasa puas apabila videonya itu turut dikongsi oleh pelajar dan guru-guru dari sekolah lain  sekolah lain dan sehingga kini saluran YouTubenya telah mempunyai lebih 2,200 pelanggan dengan 72,000 tontonan.

Dari segi keberkesanan videonya dalam meningkatkan kefahaman murid, Emily Syafirah berkata terdapat beberapa pelajar yang menyatakan telah mampu menulis ringkasan dalam Bahasa Inggeris dengan baik selain mampu menjawab semua soalan dalam peperiksaan selepas menonton videonya.

Berikutan maklum balas yang positif itu, beliau berazam untuk memperbanyakkan lagi video dalam saluran YouTubenya dan meningkatkan lagi kreativiti penyampaian agar lebih menarik, mudah difahami dan paling penting tidak membosankan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *