PEMBERIAN CUTI PERAYAAN THAIPUSAM TIDAK MERUGIKAN NEGARA

KUALA LUMPUR: Pemberian cuti perayaan Thaipusam tidak akan merugikan negara malah mewujudkan semangat menghormati antara agama dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, demikian menurut Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Justeru, Setiausaha Agungnya Kamarul Baharin Mansor berkata MTUC mendesak Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor supaya mengembalikan cuti Thaipusam kepada golongan pekerja bagi memastikan keharmonian negara tercapai.

“Sambutan Thaipusam kepada pekerja penganut Hindu amat penting dan pemberian cuti kepada kaum pekerja adalah satu pengiktirafan bagi mereka. Cuti hari Thaipusam bermakna kaum pekerja tidak perlu memohon cuti tahunan untuk melakukan ibadat mereka.

“Ini adalah kemudahan yang perlu diberikan kepada kaum pekerja dan amalan yang perlu dipertahankan untuk keharmonian negara ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Pada 20 Jan lepas, Muhammad Sanusi dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajan Negeri Kedah menyatakan bahawa tiada cuti peristiwa untuk negeri itu bagi perayaan Thaipusam pada tahun ini susulan situasi semasa berkaitan COVID-19.

Kamarul Baharin berkata MTUC telah diingatkan bahawa bagi sebarang perubahan yang dibuat, kesannya mestilah lebih baik berbanding sebelumnya dalam satu perjumpaan kepimpinan MTUC bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata nasihat Muhyiddin itu menggambarkan bahawa perdana menteri amat prihatin terhadap golongan pekerja dan ingatan tersebut menjadi panduan kepada golongan yang berkenaan bahawa sebarang perubahan yang memberi kebaikan akan dipertahan dan dipatuhi.

“MTUC melihat pembatalan cuti Thaipusam ini adalah langkah ke belakang Kerajaan Negeri Kedah untuk kaum pekerja,” katanya.

Pada masa sama, Kamarul Baharin berkata MTUC menyeru ahli politik supaya tidak menjadikan cuti Thaipusam sebagai perdebatan untuk mendapatkan sokongan daripada golongan pekerja.

“MTUC mengharapkan kerajaan memberi tumpuan kepada kaedah bagaimana untuk menghapuskan COVID-19 dan seterusnya menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Keutamaan pekerja pada masa kini adalah memastikan ada makanan yang perlu diberikan kepada keluarga,” katanya.

Perayaan Thaipusam tahun ini jatuh pada 28 Jan ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *