Jangan buang mahasiswa terbabit perhimpunan, bakar karikatur – PM

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terbabit dalam Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0 dan membakar poster karikaturnya dibuang daripada universiti.

Pendirian itu dipesan kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang kemudian dimaklumkan kepada pihak universiti pada Program In Person With DocZam di UMS pada Selasa.

Zambry berkata, Perdana Menteri menghubunginya dan menyatakan perkara itu serta menegaskan pendidikan pelajar terbabit lebih penting, walaupun mungkin mereka melakukan kekhilafan.

“Satu lagi perkara yang saya kongsikan ialah semasa dalam perjalanan ke UMS, YAB Perdana Menteri menghubungi saya mengenai isu demonstrasi dan pembakaran karikatur gambar beliau oleh beberapa orang yang dikatakan ada melibatkan kumpulan mahasiswa di Sabah, beliau sendiri berkata kepada saya.

“Walau apa jua tindakan atau siasatan yang dilakukan mengikut peraturan sedia ada jika mereka ini disabitkan kesalahan, jangan sampai mereka ini dibuang daripada universiti. Biar mereka habiskan pengajian mereka.

“Perdana Menteri menegaskan bahawa mereka mungkin melakukan kekhilafan, tetapi masa depan pendidikan mereka lebih penting.

“Berikan ruang kepada mereka untuk memperbetulkannya dan pastikan mereka dapat menamatkan pengajian dengan baik. Ini pesan beliau kepada saya dan pihak UMS,” katanya menerusi perkongsian di Facebook beliau.

Zambry berkata, apa yang dilakukan Perdana Menteri itu adalah cerminan pendekatan MADANI yang dibawa berteraskan nilai ihsan dan harapan.

Pada Sabtu lalu, sekumpulan kira-kira 100 individu menyertai Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0 anjuran Suara Mahasiswa UMS yang berarak di sekitar pusat bandar raya, sebelum berkumpul di Lintasan Deasoka, dekat Tamu Jalan Gaya sehingga Ahad.

Kemuncak perhimpunan itu ialah pembakaran poster karikatur wajah Perdana Menteri di Lintasan Deasoka yang menimbulkan kemarahan dan tentangan terhadap perbuatan peserta perhimpunan berkenaan yang disifatkan tidak wajar dan keterlaluan.

Sehingga semalam, polis menerima enam laporan polis dan membuka tiga kertas siasatan berhubung insiden itu. – Info X