TAWAU: Polis menahan lelaki warga asing yang dipercayai terbabit pengedaran dadah dan merampas 3,085.64 gram dadah jenis syabu hasil serbuan di kawasan Jalan Masuk Indrasabah Fishing Paradise, di sini, Jumaat lalu.
Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, suspek berusia 30-an itu ditahan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, hasil maklumat awam berhubung kegiatan mencurigakan seorang lelaki di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek lelaki warga asing itu dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba melarikan diri dan membuang sebuah beg ketika dihampiri pasukan serbuan.
“Pasukan serbuan berjaya memberkas suspek yang bertindak agresif dan hasil pemeriksaan tidak menemukan sebarang objek terlarang yang dimilikinya.
“Suspek kemudian menunjukkan lokasi beg yang dibuang dan pihak polis menemukan tiga bungkusan teh bertulisan ‘Guanyinwang’ berwarna hijau,” katanya dalam sidang media di IPD Tawau, di sini, hari ini.
Jasmin berkata, hasil pemeriksaan mendapati setiap bungkusan mengandungi peket lutsinar berisi bahan disyaki syabu dalam bentuk hablur jernih seberat keseluruhan 3,085.64 gram.
“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM105,000 dan hasil pemeriksaan lanjut, suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Hasil ujian saringan air kencing turut mengesahkan suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya.
Menurutnya, suspek kini direman selama tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis sedang giat mengesan rangkaian pengedaran yang berkait dengan suspek untuk siasatan lanjut.
“Polis menegaskan bahawa memiliki, mengedar atau menyalahgunakan dadah adalah satu kesalahan serius di sisi undang-undang,” katanya. – Info X

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad