Mangsa culik terakhir Tambisan kena selamat dalam pertempuran sengit awal pagi tadi

Seorang lagi tahanan kumpulan militan Abu Sayyaf yang diculik di perairan Tambisan, Sandakan, di sini, Januari tahun lalu berjaya diselamatkan.

Mangsa yang dikenali sebagai Mohd Khairuldin yang berusia 15 tahun terbabit diselamatkan dalam pertempuran antara pihak Abu Sayyaf dan pihak berkuasa negara Filipina pagi tadi.

Difahamkan, insiden berkenaan berlaku di sebuah perkampungan di Pulau Kalupag, Languyan, Tawi-Tawi, Filipina, kira-kira jam 6.30 pagi.

Mohd Khairuldin adalah mangsa terakhir dalam insiden kes culik militan Abu Sayyaf membabitkan lapan warga Indonesia.

Sebelum ini, tiga daripada kumpulan mangsa culik itu berjaya diselamatkan 18 Mac lalu manakala seorang lagi dilaporkan terbunuh ketika kejadian berbalas tembakan dengan tentera Filipina.

Manakala, tiga lagi daripada mereka yang diculik pula dilaporkan dilepaskan pihak militan berkenaan tanpa diketahui sebabnya.

Menurut sumber, dalam pertempuran berkenaan, polis negara jiran turut berjaya menembak mati ‘Apo Mike, yang salah seorang perancang utama kegiatan kumpulan penculikan untuk wang tebusan (KFR) bersama dua lagi rakannya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan insiden membabitkan kumpulan militan berkenaan.

Katanya, pihak berkuasa negara ini akan mendapatkan maklumat lebih lanjut berhubung kejadian itu dalam masa terdekat.

Difahamkan, Apo Mike adalah seorang sub-komander Abu Sayyaf yang dipercayai mengetuai beberapa siri penculikan termasuk kes penculikan empat rakyat Sarawak di perairan Semporna, Sabah berhampiran Pulau Ligitan pada 2016.

Apo Mike juga adalah antara 21 senarai penjenayah dikehendaki Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSSOM) kerana terbabit aktif melakukan jenayah termasuk penculikan yang berlaku di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Pada Januari 2020, kumpulan bersenjata Abu Sayyaf dilaporkan menculik lima nelayan Indonesia yang bekerja di sebuah kapal nelayan Malaysia di perairan Tambisan.

Salah seorang tebusan yang dikenalpasti sebagai La Baa, 32, dilaporkan ditemui mati pada 28 September 2020 di Patikul, Sulu, Filipina. – Asia Times