MAUT DITETAK SELEPAS TUNAIKAN SOLAT SUBUH

TENOM: Seorang Imam yang baru selesai menunaikan solat subuh maut selepas ditetak sepupunya dalam kejadian berhampiran surau Kampung Mamaitom, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa Platani Ukir, 35, yang juga imam surau berkenaan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian belakang kepala.

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, siasatan awal mendapati mangsa ditetak selepas kembali ke tempat letak motosikalnya yang berada di tepi jalan selepas menunaikan solat subuh di surau berkenaan.

“Saksi kejadian yang menyedari perkara itu selepas terdengar bunyi bising lalu melihat mangsa terbaring dan suspek menekan leher mangsa sambil memegang tukul dan terdapat sebilah parang dipinggangnya.

“Saksi cuba membantu tetapi dihalang oleh suspek sebelum menghubungi pihak polis untuk bantuan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hasan berkata, sepasukan polis yang tiba di lokasi kejadian menahan suspek dan turut merampas sebilah parang dan tukul daripada suspek terbabit.

“Siasatan lanjut mendapati mangsa adalah sepupu kepada suspek.

“Siasatan juga mendedahkan bahawa suspek dipercayai seorang pesakit mental. Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan suspek berusia 53 tahun kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.