OANA zahirkan kebimbangan berhubung fenomena berita palsu

[ad_1]

Oleh Zakaria Abdul Wahab

HANOI, 19 April (Bernama) — Pertubuhan Agensi-agensi Berita Asia Pasifik (OANA) menzahirkan kebimbangan mendalam berhubung fenomena berita palsu yang melanda dunia media dan kini turut menjejaskan reputasi agensi berita.

Presiden OANA Aslan Aslanov berkata berita palsu telah menjadi isu mendesak dalam kalangan agensi berita dan ada pihak yang telahpun menjadi mangsanya.

Aslan, yang juga Pengerusi Lembaga Agensi Berita Azerbaijan (Azertac), berucap pada sesi pembukaan Mesyuarat Lembaga Eksekutif OANA ke-44 yang berlangsung di sini hari ini. Mesyuarat itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Vietnam Vu Duc Dam.

Lebih 30 anggota delegasi dari 14 agensi berita, termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), yang merupakan anggota Lembaga Eksekutif OANA, menghadiri mesyuarat itu, anjuran Agensi Berita Vietnam (VNA).

Bernama diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nurini Kassim dan Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab. OANA mempunyai 44 anggota dari 35 negara.

Aslan berkata bagi memastikan OANA, dan khususnya agensi berita yang menganggotainya, kekal relevan dalam era teknologi maju kini, mereka seharusnya menerapkan teknologi baharu untuk mendepani cabaran yang dibawa berita palsu.

Beliau berkata agensi berita dan media arus perdana tradisional yang lain perlu terus mengekalkan prinsip kewartawanan yang baik, mengamalkan pemeriksaan fakta dalam setiap berita, kerana ini akan menjadikan mereka ‘benteng’ terhadap berita palsu.

Aslan berkata beliau yakin OANA akan terus menjadi organisasi berita yang kuat, boleh dipercayai dan boleh diharapkan, kepada masyarakat serta dunia media.

Sementara, Timbalan Perdana Menteri Vietnam Dam berkata ekoran peningkatan berita palsu, OANA, sebagai organisasi berita terbesar, boleh menjalankan peranan sebagai pemeriksa fakta.

Berita palsu, katanya, mengakibatkan kerosakan besar kepada berita benar, dan menambah, media tradisional juga perlu menyesuaikan diri kepada perubahan baharu dalam industri media, lebih-lebih lagi dengan kemunculan Revolusi Industri 4.0, yang membawa cabaran lebih besar.

Sebuah pameran foto, yang memaparkan koleksi foto terbaik daripada agensi berita yang mengambil bahagian, termasuk Bernama, turut diadakan bersempena mesyuarat itu.

— BERNAMA

[ad_2]