Pesta Magahau 2019, 3 Ogos di Puruvan Square, Matunggong

Jose (6 dari kanan) menerima tajaan daripada Real Beauty (5 dari kanan) turut kelihatan Jelani (5 dari kiri), bekas Ratu MGM dan jawatankuasa penganjur Pesta Magahau 2019.

Oleh: Nio James

KOTA KINABALU: Pesta Magahau Peringkat Negeri Sabah tahun ini  akan dilancarkan di Dewan Kampung Dato, Manggatal pada 30 Jun, 2019 dianjurkan oleh Zon Kota Kinabalu selaku tuan rumah.

Manakala acara kemuncak perayaan itu akan diadakan di Puruvan Square, Matunggong pada 3 Ogos, dan dijadual akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Hj. Apdal.

Presiden Persatuan Momogun Rungus Sabah (Samora) Datuk Jelani Hamdan, berkata, tarikh untuk Pesta Magahau tahun ini lebih fleksibel bermula tahun ini, dimana sebelum ini kemuncak pesta itu diadakan pada 31 Julai setiap tahun

Sebelum itu, kami cuba mengadakannya pada Mei tetapi ia juga bertembung dengan Pesta Kaamatan. Tetapi jika kami  menganjurkannya pada 31 Julai, ia terlalu hampir dengan Pesta Kudat,” katanya.

Jelani berkata, sambutan perayaan itu akan terus diadakan diperingkat zon bagi membawa semangat pesta berkenaan ke kawasan pedalaman dan tidak sekadar tertumpu di pekan besar.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur Pesta Magahau 2019, Jose Modsinupu berkata, perayaan itu yang bertemakan Magahau Semangat Perpaduan Kaum, diadakan bertujuan untuk mengukuhkan semangat muhibah dalam kalangan rakyat.

Magahau bukan hanya dimiliki oleh Momogun Rungus, tetapi sebaliknya dimiliki oleh semua.

Ia adalah platform terbaik untuk bertemu sanak saudara dan rakan-rakan dan semua orang dialu-alukan meraikan pesta ini bersama-sama, katanya.

Katanya, sambutan perayaan itu diperingkat zon akan diadakan dari 1 hingga 27 Julai masing-masing di Kota Kinabalau (sebagai tapak pelancaran), Wilayah Persekutuan Labuan, Pitas, Kudat, Kota Marudu, Beluran dan Matunggong.

Tiga pemenang utama pertandingan ratu cantik Mitarab Gimpuhut Magahau (MGM) peringkat zon layak melangkah ke final manakala peserta lain dari pertandingan peringkat zon juga akan dipilih untuk menyertai pertandingan Model Terbaik Tahunan.

Pertandingan nyanyian Mitarab Monurizak Magahau (MMM), tiga pemenang teratas akan layak bertanding di separuh akhir dan hanya tujuh peserta terbaik akan bersaing di peringkat akhir.

Sodop Papak Tavasi (malam gala) akan diadakan di lobi Wisma Tun Fuad Stephens pada 1 Ogos dan akan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew.

Satu lagi program bakal diadakan semasa Pesta Magahau adalah Mitarab dot Band (pertandingan band) di mana, sehingga kini, 13 band dari seluruh Sabah dan Labuan telah mengesahkan penyertaan.

Pemenang MGM dan MMM pada acara kemuncak nanti masing-masing akan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan RM2,000.

Tiga pemenang teratas MGM dan juara MMM serta pemenang Model Terbaik Tahunan juga akan menerima tajaan melancong ke Melbourne, Australia untuk membantu Tourism Malaysia mempromosikan negara.

Pertandingan MGM telah mendapat tajaan sepenuhnya daripada Real Beauty Sdn Bhd.