Rasa-rasa Umno Sabah dapat kasi kekal autonomi pada PRU15?

Rakyat Sabah tertanya-tanya sama ada hubungan Umno-PPBM di peringkat pusat akan mempengaruhi kerjasama parti-parti itu di Sabah pada pilihan raya umum akan datang.

Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin baru-baru ini berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan PPBM walaupun jurang antara kedua-dua parti itu semakin besar di peringkat pusat.

Bung, yang juga timbalan ketua menteri, berkata autonomi Umno Sabah untuk memutuskan sebarang kerjasama politik membolehkan parti itu mengekalkan hubungannya dengan PPBM Sabah, yang diterajui Ketua Menteri Hajiji Noor.

Disebabkan autonomi itulah Umno Sabah dapat berunding tentang kerusi dengan parti sekutu dan memilih calonnya pada pilihan raya negeri yang lalu.

Namun kini, rakyat tertanya-tanya sama ada pucuk pimpinan Umno di Kuala Lumpur akan membenarkan Sabah Umno berbuat sedemikian bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Kata sumber dalaman Umno kepada FMT, disebabkan kerumitan rundingan tentang kerusi PRU15, kepimpinan parti merasakan isu itu perlu ditangani oleh parti pusat.

Kata mereka, kepimpinan parti berpendapat Umno akan kehilangan kekuatan kolektifnya dalam rundingan dengan parti sekutu sekiranya negeri diberi kebebasan dalam rundingan kerusi.

Penganalisis politik Awang Azman Pawi berkata, besar kemungkinan Umno pusat akan menarik balik autonomi Sabah berkenaan kerusi dan calon dengan alasan PRU15 adalah pertandingan bagi memilih kerajaan persekutuan, bukan kerajaan negeri.

“Umno mahu bertanding di 96 kerusi Parlimen, termasuk kerusi tradisional yang dipegang oleh mereka yang telah melompat (parti),” kata beliau kepada FMT.

“Ini bermakna Umno ingin menegaskan niatnya untuk bertanding di semua kerusi tradisionalnya.”

Ini termasuk kerusi-kerusi di Sabah.

“Calon yang akan dipilih harus mendapat restu dari kepimpinan pusat kerana mereka ingin memastikan tiada pengkhianatan atau lompat parti selepas mereka menang,” kata beliau.

“Ini akan mengukuhkan kekuatan Umno dan memastikan pembersihan di dalam parti sebelum keadaan bertambah buruk dan diambil kesempatan oleh ‘kuda trojan’ dalam parti.”

Bagaimanapun, Awang Azman berkata, kuasa autonomi lain, seperti yang berkaitan dengan urusan pentadbiran, mungkin tidak akan disentuh.

Seorang penganalisis lain, Arnold Puyok, berkata ia tidak akan kelihatan baik sekiranya Umno pusat menarik balik autonomi penuh yang diberi kepada Umno Sabah.

“Ini kerana autonomi itu adalah antara kelebihannya,” kata beliau kepada FMT.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *