SBA UMUM 20 PENINJU SERTAI LATIHAN PUSAT

KOTA KINABALU: Persatuan Tinju Negeri Sabah (SBA) membuka lembaran tahun 2020 dengan menamakan 20 peninju yang akan menyertai latihan pusat sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA), Julai ini.

Presidennya, Datuk Orlando Harumal berkata, kesemua peninju itu terpilih selepas menunjukkan aksi memberangsangkan dalam temasya Sukan Sabah (SAGA) yang berlangsung di Keningau, Disember lalu.

“Senarai awal pasukan negeri ini mempunyai 20 nama peninju untuk sembilan kategori berat badan.

“Ada antara kategori berkenaan mempunyai dua hingga lima peninju tetapi cuma satu sahaja yang akan dipilih untuk mewakili Sabah,” katanya, di sini, kelmarin.

Peninju-peninju yang terpilih untuk menjalani latihan pusat berkenaan ialah Mohammad Alif Fazlee Labon dari Keningau dan Lau Ung Han dari Papar untuk kategori 49kg; Mohd Syahran Hafie Mohd Fauzee (Beluran/52kg) dan Johnny Mojimbun (Tambunan/52kg); Maxemery Motinin (Kota Belud/69kg), Jemson Johnny (Tambunan/69kg) dan Shaun Cassidy (Papar/69kg); Mohd Aizzat Akhmal Kamal (Kota Kinabalu/75kg) dan Muhammad Aiman Danish Muhammad Yakob (Penampang/75kg); Ozo Jaintin (Kota Kinabalu/81kg), Mohd Zainudin Yakob (Papar/81kg), Azizi Abu Bakar (Penampang/81kg), Mohd Syawal Mohd Azmee (Keningau/81kg) dan Amirul Aiman Agustan (Tuaran/81kg); serta Mohd Hafeez Ibrahim (Kota Kinabalu/91kg), Adam Jaimin (Penampang/91kg) dan Shahirul Jemin (Tuaran/91kg).

Sementara itu, Fabio Peter Fabian (Tambunan), Rosshazmie Nizam Husni Roslan (Sandakan) dan Azrullah Sulaiman (Papar) merupakan atlit tunggal terpilih untuk kategori masing-masing untuk 56kg, 60kg dan 64kg.

“Kesemua atlit yang terpilih akan menjalani tiga fasa latihan pusat pada bulan Mac, Mei dan Julai bertempat di Kompleks Sukan Kota Kinabalu di Likas.

“Para Jurulatih yang akan mengendalikan latihan nanti ialah Fabian Peter, Datu Segan dan Arthur Udang,” katanya.

Sebagai rekod, SUKMA diadakan pada Julai depan dengan Johor akan menjadi tuan rumah kepada temasya sukan terunggul negara itu.