LIGA SUPER 2020 : TAMBADAU KE GELANGGANG LAWAN DULU

KOTA KINABALU: Skuad Sabah bakal memulakan saingan Liga Super di gelanggang lawan apabila bertemu PDRM di Stadium Bolasepak Cheras pada 1 Mac.

Ia merupakan penampilan semula Sabah dalam saingan Liga Super selepas kali terakhir beraksi dalam saingan utama bola sepak negara itu pada 2013.

Pasukan yang kini digelar Tambadau itu mendapat tiket bersaing dalam Liga Super selaku juara Liga Premier tahun lalu.

Jadual yang dikeluarkan Malaysian Football League (MFL) semalam menyaksikan Sabah akan bermain di gelanggang sendiri (Stadium Likas) menentang Felda United FC pada 7 Mac.

Perlawanan seterusnya Sabah sebagai tuan rumah di pusingan pertama adalah menentang Perak (14 Mac), Selangor (antara 10,11, 12 April), Melaka (antara 28, 29 April) dan UiTM FC (antara 12, 13 Mei).

Perlawanan lain di tempat lawan untuk pusingan pertama pula adalah menentang Pahang (10 Mac), Terengganu FC (3 April), PJ City FC (antara 17, 18, 19 April), Kedah (antara 25, 26 April) dan JDT (antara 8, 9, 10 Mei).

Sementara itu, MFL turut menyatakan bahawa perlawanan liga yang belum ditetapkan tarikhnya akan dikemaskini selepas keputusan undian perlawanan Piala FA bagi memastikan perjalanan dan hari rehat pasukan di antara hari perlawanan liga dan Piala FA dapat diselaraskan.

Undian pusingan ketiga Piala FA dijadualkan pada 19 Mac manakala undian suku akhir pada 16 April.