SELAMATKAN HAIWAN DARIPADA PENGANIAYAAN, INI PERKARA YANG PERLU ANDA TAHU!

Apa yang anda lakukan apabila melihat seseorang melakukan penganiayaan terhadap haiwan?

Aktivis haiwan Rajesh Nagarajan menyenaraikan empat perkara mengikut turutan, yang boleh anda lakukan jika melihat kejadian seumpama itu: 

  • Ambil gambar atau rakam video perbuatan penganiayaan itu.
  • Menghalang perbuatan itu.
  • Selamatkan haiwan daripada penganiayaan yang lebih teruk.
  • Membuat laporan polis.

Rajesh, yang merupakan seorang peguam berkata seseorang saksi yang melihat kejadian penganiayaan terhadap haiwan harus mempertimbangkan keselamatannya sendiri ketika berusaha menghentikan kejadian itu dan menyelamatkan haiwan daripada penganiayaan yang lebih teruk.

“Selepas itu, saksi perlu segera membuat laporan polis dan memberikan apa sahaja bukti yang ada kepada polis untuk membantu siasatan,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata bahawa ketiadaan bukti, seperti gambar atau video, tidak sepatutnya menghalang saksi untuk membuat laporan kerana polis perlu diberi peluang untuk menjalankan siasatan.

“Semua pegawai polis perlu, berdasarkan Seksyen 107 (4) Kanun Prosedur Jenayah, menerima laporan yang dibuat oleh seseorang individu berhubung apa juga perkara,” katanya.

Daripada bertindak membuat laporan polis, beberapa saksi yang menyaksikan kejadian penganiayaan itu sebaliknya dilihat menyiarkan gambar atau video penganiayaan haiwan berkenaan di platform media sosial, terutama sejak kebelakangan ini.

Seorang lagi peguam, Sachpreetraj Singh Sohanpal berkata, “ini mungkin disebabkan oleh persepsi masyarakat bahawa pihak berkuasa lambat bertindak terhadap kejadian penganiayaan haiwan”.

“Nampaknya ada rasa kurang percaya, dan masyarakat berpendapat bahawa berkongsi kejadian seperti itu (dengan memuat naik di media sosial) akan meningkatkan lagi kesedaran dalam kalangan masyarakat, sekali gus diharapkan dapat memberi tekanan kepada pihak berkuasa untuk bertindak,” katanya.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati.

Warganet yang membaca hantaran mengenai penganiayaan haiwan di media sosial pula perlu mengenal pasti dan mengesahkan sumbernya terlebih dahulu sebelum berkongsi dan meninggalkan komen agar tidak berkongsi kandungan palsu atau yang tidak sahih.

“Berkongsi kandungan palsu adalah kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya,” katanya.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia Arie Dwi Andika berkata kes kekejaman terhadap haiwan perlu diberi perhatian serius kerana masih ramai orang yang melakukan jenayah itu tanpa belas kasihan atau penyesalan.

“Kami di sini bukan hanya untuk menyelamatkan haiwan tetapi juga untuk memastikan keadilan. Tetapi, sebelum kita bertindak mengikut gerak hati, kita memerlukan bukti visual perbuatan penganiayaan yang tepat dan wajah pelaku yang nyata.

“Saksi yang melihat kejadian perlu membuat laporan polis terlebih dahulu. Kami tidak boleh mengambil tindakan hanya dengan khabar angin. Untuk membuat laporan, pengadu harus mengemukakan bukti sokongan seperti rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Arie merujuk kejadian pada 2019 apabila seorang individu dijatuhi hukuman penjara 15 bulan selepas mengaku bersalah membunuh kucing dengan menjerutnya dengan tali dan menggantung bangkai haiwan itu.

“Dengan adanya rakaman yang memaparkan pelaku melakukan perbuatan itu, ia akan memperkukuhkan kes berkenaan dan seterusnya keadilan akan dapat diberikan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *