Sinergi UMS-JAKIM-JHEAINS anjur Webinar Urus Emosi

Sinergi di antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (PIUMS), dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah telah berjaya menganjurkan satu webinar yang bertajuk Peranan Psikospiritual Islam Dalam Kesihatan Jiwa baru-baru ini.

Webinar yang dipancarkan secara langsung menerusi aplikasi Webex PIUMS dan media sosial rasmi Facebook ketiga-tiga agensi tersebut dirasmikan oleh Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Haji Abdul Aziz Jusoh.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan betapa pentingnya bidang Psikospiritual Islam bagi membantu masyarakat awam, sama ada bagi terapis, kaunselor, pendidik, imam, pegawai rundingcara, rakan sebaya dan selaku ibu bapa.

“Psikospiritual Islam mempunyai hubungan yang erat dengan soal kejiwaan, akhlak dan kebahagiaan diri manusia serta merupakan salah satu jalan penyelesaian terhadap masalah kejiwaan dan pemikiran manusia yang bersifat kerohanian dengan mengenal diri, penyembahan dan pengabdian diri kepada Allah SWT dan dalam pembentukan akhlak terpuji.

“Walau bagaimanapun, hal ini kurang dititikberatkan oleh masyarakat sekarang yang terlalu mengejar keduniaan sehingga alpa terhadap unsur spiritual ini.

“Natijahnya, hal ini dapat melahirkan krisis kejiwaan dan kekosongan spiritual manusia zaman ini yang boleh mengakibatkan kepada kesihatan mental yang negatif,” katanya.

Menurut Abdul Aziz, Pandemik COVID-19 yang melanda dunia khususnya di Malaysia telah memberi kesan yang sangat besar terutama dalam menguji kekuatan mental dan spiritual.

“Oleh itu sangat penting bagi kita untuk mendalami ilmu ini supaya kita dapat membantu diri sendiri khususnya dan membantu orang lain di sekeliling kita untuk sentiasa tenang dan rasional dalam melakukan sesuatu tidak kira dalam situasi apa sekalipun,” ujar beliau.

Webinar yang berlangsung selama sehari itu menghimpunkan lebih daripada 500 peserta, serta membariskan panel-panel penceramah yang berpengalaman dalam bidang Psikospiritual Islam antaranya Ketua Pengarah Kanan, Bahagian Penyelidikan JAKIM, Dr. Abdul Ghaffar Surip; pensyarah Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Che Zarrina Syaari; pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Salasiah Hanin Hamjah; dan Pengarah PIUMS,  Ustaz Md. Razali Saibin.

Turut hadir dalam webinar tersebut ialah Tuan Haji Norjeli Bin Haji Dais, Pengarah JAKIM Cawangan Sabah, Tuan Haji Norjeli Haji Dais dan Ketua Timbalan Pendaftar merangkap Presiden Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional UMS (PPUMS), No’man Haji Ahmad.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *