KOTA KINABALU: Sebanyak 10 bot kumpit dari negara jiran sudah meninggalkan perairan negeri ini selepas dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah.
Bot kumpit di perairan Sandakan terdapat enam buah manakala di Labuan dan Tawau masing-masing dua buah yang bergerak keluar bermula 1 hingga 3 April lalu.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, semua bot kumpit itu mendapat kelulusan kerajaan negeri untuk berlabuh di perairan Sabah bagi tujuan pemunggahan barangan ke dalam kumpit berkenaan di Pelabuhan Labuan, Sandakan dan Tawau.
“Antara aktiviti pemunggahan barangan seperti beras, minyak masak dan mi untuk dibawa balik ke Filipina. Pergerakan kumpit terakhir keluar dari perairan Sabah adalah dari Labuan sebanyak dua buah pada 3 April lalu.
“Di Tawau, pergerakan kumpit terakhir iaitu pada 1 Apri lalu manakala di Sandakan pada 2 April lalu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, pihaknya bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan akan terus membuat pemantauan secara berterusan khususnya membabitkan pergerakan bot kumpit di perairan Sabah.
“Sekirannya masih didapati ada kumpit cuba memasuki perairan Sabah, tindakan mengusir atau melaksanakan tangkapan jika mereka tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa sehingga 14 April ini.
“Oleh itu, PPM memberi amaran keras kepada agen-agen bot kumpit bagi memastikan tiada lagi kemasukkan ke perairan Sabah dalam tempoh PKP ini sehingga mendapat arahan lanjut dari kerajaan Sabah,” katanya.

Menurutnya, ini adalah salah satu peranan yang dilaksanakan dan dirancang oleh PPM Sabah dan Labuan bagi menyekat penularan wabak Covid-19 di seluruh Sabah, selain melaksanakan peranan dalam mengekang dan memerangi jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan.
“Kita juga menasihati penduduk pulau di Sabah supaya mematuhi PKP yang sedang berkuatkuasa dan tangkapan akan dilakukan apabila mereka didapati mengingkari PKP.
“Kepada warga PPM Sabah dinasihati utamakan kesihatan dan keselamatan diri dalam melaksanakan tugas di medan seperti yang digariskan. Kita mendokan Sabah pulih secepat yang mungkin daripada gejala wabak Covid-19 ini,” katanya./BERITA SABAH

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ