11 anggota Geng Upik termasuk ahli perniagaan bergelar Datuk didakwa

KOTA KINABALU: Seramai 11 anggota kumpulan Geng Upik termasuk ahli perniagaan bergelar Datuk yang dipercayai mendalangi sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, pagi ini.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan, Akta 574 dan boleh dihukum Seksyen yang sama.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nazran Nohd Sham di hadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim.

Bagaimanapun tiada pengakuan dirakam terhadap tertuduh, manakala sebutan semula ditetapkan pada 1 Mac depan sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, masing-masing terduduh didakwa melakukan kesalahan bermula dari seawal 2015 hingga 24 Disember tahun lalu.

Tertuduh terbabit ialah Rahman Burijin, 44; Jaisalfian Jaineh @ Zaini, 45,; Mohd Fauzie Rablin, 33; Shahlan Shah Abdul Samad, 37; Datuk Maslan Sani, 41; Nelson Yen Yee Chung, 46; Mohd Faridzul Asmahadi, 31; Fazrul Bahar, 32;  Alkan Abraham, 35; Mazlan Mahmud, 41; dan Mahathir Jibarail, 49.

Media sebelum ini melaporkan lebih RM7 juta aset milik satu sindiket dadah di Sabah yang didakwa diketuai seorang ahli perniagaan dan penaung badan bukan kerajaan (NGO) bergelar Datuk, dirampas.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, aset itu disita mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Beliau berkata, sejak penahanan ketua dan anggota sindiket itu pada 25 Disember tahun lalu, polis merampas pelbagai aset antaranya 22 akaun bank dengan simpanan berjumlah RM420,000 yang dibekukan, 18 kenderaan mewah bernilai RM6.6 juta, barang kemas dan jam tangan bernilai kira-kira RM100,000 serta wang tunai RM35,000.

Polis percaya penaung NGO itu menjalankan kegiatan pengedaran dadah di luar Sabah sejak lebih lapan tahun lalu.