SEMPORNA: Sebanyak 112 rumah penduduk di tiga perkampungan atas air di daerah ini terjejas teruk akibat angin kencang, awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu turut menyebabkan 20 kenderaan rosak namun tiada mangsa dilaporkan terbabit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Penolong Penguasa Bomba, Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian angin kencang, pada jam 6.21 pagi.
Katanya, setiba pasukan bomba di lokasi, terdapat beberapa rumah di perkampungan atas air iaitu Kampung Selamat, Seri Aman dan Sejati mengalami kerosakan dan ada rumah yang roboh.
“Hasil pemeriksaan mendapati 60 rumah rosak manakala lapan rumah roboh serta lima kenderaan terjejas.

“Turut rosak sebahagian bumbung Masjid Kampung Selamat diterbangkan angin,” ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, di Kampung Seri Aman, sebanyak 10 rumah rosak, sebuah rumah roboh manakala 15 kenderaan rosak.
“Di Kampung Sejati, 24 rumah terjejas termasuk dua rumah roboh dan di Kampung Batu, sembilan rumah dan sebuah surau rosak dan jumlah keseluruhan rumah terjejas sebanyak 112 manakala 20 kenderaan rosak berpunca daripada angin kencang.
“Kejadian itu juga menyebabkan berlaku litar pintas dan pemantauan dijalankan oleh pasukan bomba dan pihak Sabah Electricity untuk memastikan tiada bahaya lain,” katanya.
Menurutnya, pasukan bomba membuat pemeriksaan di sekitar kawasan yang terjejas dan mengarahkan penduduk untuk keluar ke kawasan selamat.

“Tiada membabitkan kecederaan dan kemalangan jiwa.
“Pemantauan akan dijalankan secara berterusan di kawasan yang terbabit,” katanya. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ