BELURAN: Seramai 13 individu termasuk tujuh warga asing ditahan di Road Check Point (RCP) Kilometer 4 Jalan Sapi Nangoh, di sini, Ahad lalu.
Semua warga asing terbabit ditahan oleh pasukan Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran ketika membuat sekatan jalan raya (SJR) di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid berkata, pihaknya menahan empat buah kenderaan sarat dengan muatan penumpang dalam keadaan mencurigakan di SJR berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat enam lelaki warga tempatan dan tujuh warga asing termasuk seorang wanita berusia 21 hingga 56 tahun di dalam kenderaan berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati semua warga asing berkenaan masuk ke negara ini tanpa memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Semua kenderaan dan tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk disiasat mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kesalahan membenarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) memasuki negara ini boleh didenda sehingga RM30,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap PATI.
“Kesalahan gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri pula disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang boleh dipenjara sehingga dua tahun dan sebat tidak kurang dari tiga kali,” katanya. – Info X

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad