1,317 kes baru Covid-19 ini hari dan 4 mati

Kementerian Kesihatan melaporkan 1,317 kes baharu Covid-19 dan empat kematian berbanding 1,052 pesakit sembuh.

Ini menjadikan 345,005 kes pulih daripada keseluruhan 362,173 jangkitan Covid-19 dengan 1,333 kematian setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 15,835 kes aktif dengan 84 daripada 188 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada jumlah kes baharu itu, katanya, 12 ialah kes import dan 1,305 kes penularan tempatan membabitkan 1,107 warganegara dan 198 warga asing.

Beliau berkata, Sarawak kembali mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi, iaitu 351 kes.

“Daripada jumlah ini, 256 kes (72.9%) daripada kluster dan saringan kontak rapat,” katanya dalam kenyataan.

Ia disusuli Selangor dengan 303 kes, Kuala Lumpur (116), Pulau Pinang (112), Sabah (109), Negeri Sembilan (63), Johor (61), Kelantan (58), Kedah (47), Pahang (32), Terengganu (22), Perak (21), Melaka (11), Putrajaya (sembilan) dan Perlis (dua).

Labuan ialah satu-satunya negeri yang tidak melaporkan sebarang kes baharu.

Noor Hisham berkata, empat kematian itu membabitkan warganegara berusia 45 hingga 74 tahun dari Kuala Lumpur, Selangor dan Sabah, dengan tiga daripada mempunyai latar belakang penyakit seperti darah tinggi dan buah pinggang kronik.