14 Sekolah Terjejas Banjir Di Daerah Beaufort 

KOTA KINABALU: Sebanyak 14 buah sekolah terjejas banjir seluruh Sabah berikutan kenaikan paras air sejak beberapa hari lalu akibat hujan berterusan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Sabah Datuk Raisin Saidin berkata, sekolah yang terjejas banjir itu kesemuanya terletak di sekitar daerah Beaufort.

“LAPORAN MENGENAI BANJIR DI SEKOLAH KITA BUAT KEMASKININYA SETIAP HARI DAN SEHINGGA SEMALAM 10 FEBRUARI KITA DAPATI BANJIR INI BANYAK BERLAKU DI DAERAH BEAUFORT.

“Berdasarkan laporan, terdapat 14 buah sekolah di Beaufort terlibat sehingga semalam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Amanat Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Raisin berkata demikian bagi mengulas situasi banjir di Sabah yang melibatkan sekolah-sekolah dibawah JPN Sabah.

Katanya, beberapa buah sekolah yang sebelum ini terlibat banjir telah pulih selepas air yang naik mulai surut.

“Pada ketika ini proses pembersihan sedang dijalankan supaya sekolah berkenaan bersedia beroperasi pada  17 Februari yang akan datang sempena pembukaan sesi persekolahan tahun 2025/2026,” katanya.

Dalam pada itu, Raisin turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana telah menurunkan peruntukkan bagi membantu sekolah terjejas banjir.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 1,041 mangsa melibatkan 327 keluarga masih berlindung di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah di Sabah.