15 individu rugi lebih RM200,000 dalam penipuan di media sosial

LABUAN : Seramai 15 individu di pulau ini kerugian lebih RM203,507 apabila terpadaya dengan tawaran peluang pekerjaan secara sambilan di platform Media Sosial yang berlaku baru baru ini.
Ketua Polis Labuan, Superintenden Hamizi Halim berkata, Bahagian Jenayah Komersil Labuan menerima 15 laporan polis berhubung kejadian itu sejak awal bulan ini.
Beliau berkata, modus operandi penipuan itu dengan menubuhan kumpulan WhatsApp yang dikenali Olivia sebagai pentadbir WhatsApp untuk merekrut dan dan menambah sebanyak mungkin kenalan.
“Ahli dalam kumpulan itu dijanjikan dengan pekerjaan sambilan yang bergaji lumayan melalui iklan yang ditayangkan dalam group WhatsApp dan kemudian ditipu untuk terlibat dengan pelaburan dalam talian haram” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihak polis sedang berusaha untuk mengenal pasti dan menangkap pelaku penipuan pekerjaa itu sambil menjelaskan setakat ini belum ada tangkapan dibuat.
Hamizi turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati apabila ditawarkan pekerjaan sambilan dalam talian dengan gaji lumayan.