150 pati dihantar pulang

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah berjaya melaksanakan pemindahan tahanan asing ke negara asal melalui Program Pembiayaan Sendiri yang membabitkan 150 tahanan pendatang asing tanpa izin (Pati), semalam.

Daripada jumlah itu, 140 tahanan warga Filipina dihantar pulang melalui laut di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lahad Datu ke Bongao, Filipina.

Manakala 10 tahanan lagi yang terdiri daripada pelbagai warganegara iaitu Pakistan, India dan juga Filipina dipindahkan melalui udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, semua Pati yang terbabit berusia dalam lingkungan dua hari hingga 82 tahun.

“Kanak-kanak yang balik ke negara asal adalah diringi sepenuhnya oleh ibu bapa atau penjaga yang sah.

“Shingga ke hari ini, jumlah keseluruhan Pati yang berjaya dipindahkan ke negara asal adalah seramai 2,423 orang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua Pati telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan dan mempunyai Dokumen Perjalanan atau Pasport Antarabangsa yang sah untuk melayakkan diri mengikuti proses pemindahan tahanan asing ke negara asal.

“Pengembara atau pelancong asing adalah diingatkan supaya mematuhi sepenuhnya tempoh dan syarat-syarat kemasukan ke Malaysia seperti mempunyai Dokumen Perjalanan atau Pasport Antarabangsa yang sah, Visa untuk masuk ke Malaysia.

“Tidak tergolong sebagai imigran larangan serta mempunyai tiket yang sah untuk perjalanan pulang ke negara asal,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang telah diberikan.

Jelasnya, tindakan pendakwaan akan dikenakan kepada individu yang melakukan pelanggaran ke atas syarat pas atau permit seperti yang termaktub di bawah Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – Info X