15,759 kes Covid-19 ini hari, Sabah ada 1,291

Kementerian Kesihatan melaporkan 15,759 kes baharu Covid-19 dan 16,650 pesakit sembuh dalam tempoh 24 jam lalu.

Ini menjadikan keseluruhan jangkitan meningkat kepada 2,127,934 kes setakat ini, dengan 1,897,386 daripadanya kes pulih.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 288 atau 1.8% daripada jumlah kes baharu itu dalam Kategori 3 hingga 5, manakala 15,471 kes atau 98.2% lagi Kategori 1 dan 2.

Katanya, seramai 1,117 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi, dengan 844 orang disahkan positif Covid-19 dan 273 lagi dalam siasatan.

Beliau berkata, 635 daripada jumlah itu memerlukan bantuan pernafasan, dengan 377 orang disahkan positif Covid-19 dan selebihnya 258 lagi disyaki positif.

Daripada jumlah baharu itu, 27 ialah kes import dan baki 15,732 kes penularan tempatan membabitkan 14,279 warganegara serta 1,453 warga asing.

Hisham berkata, Sarawak masih mencatatkan jumlah jangkitan harian tertinggi dengan 3,732 kes.

Ia disusuli Johor dengan 1,959 kes, Selangor (1,934), Pulau Pinang (1,417), Kelantan (1,338), Sabah (1,291), Perak (1,184), Kedah (786), Pahang (707), Terengganu (592), Kuala Lumpur (359), Melaka (264), Negeri Sembilan (127), Putrajaya (34), Perlis (23) dan Labuan (12).

Beliau berkata, kadar kebolehjangkitan Covid-19 negara ialah 0.93 setakat semalam.

Pahang terus mencatatkan R-nought tertinggi pada 1.07, disusuli Sarawak (1.04), Terengganu (1.03), Perak (1.01), Johor (0.99), Kelantan (0.99), Perlis (0.98), Pulau Pinang (0.96), Sabah (0.91), Putrajaya (0.91), Kedah (0.89), Melaka (0.89), Negeri Sembilan (0.86), Selangor (0.85) dan Kuala Lumpur (0.84).