16 PATI kena tahan Maritim di Labuan

Seramai 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas didapati bekerja di atas bot perikanan tempatan secara haram, semalam.

Dalam operasi jam 11.00 pagi, pasukan Maritim Malaysia Zon Labuan yang sedang menjalankan operasi Op Pagar Laut mengesan bot berkenaan di kedudukan 24 batu nautika barat laut, Pulau Labuan.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Maritim Nudin Jusoh berkata, bot nelayan tempatan berkenaan yang dikesan berada dalam keadaan mencurigakan ditahan untuk pemeriksaan.

Katanya, hasil pemeriksaan, pihaknya mendapati bot berkenaan dikendalikan 18 kru termasuk tekong berusia 24 hingga 54 tahun.

“Seramai 16 kru gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Bot berkenaan kemudiannya diiring masuk ke Jeti Zon Maritim Labuan, manakala semua kru ditahan untuk siasatan oleh Pegawai Penyiasat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Nudin berkata, Maritim Malaysia juga akan bekerjasama dengan Jabatan Perikanan bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap pemilik bot kerana menggajikan pekerja asing tanpa permit yang sah.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan sebarang pencabulan undang-undang Persekutuan.

Sehubungan itu, Nudin berkata, orang ramai terutama masyarakat maritim dan persisir pantai disarankan supaya membantu menyalurkan maklumat kepada Maritim Malaysia untuk tindakan penguatkuasaan.

“Masyarakat digalakkan supaya membantu melaporkan sebarang salah laku di laut ke Pusat Operasi Maritim Labuan di talian 087-428008 atau melalui talian kecemasan MERS 999,” katanya. – Asia Times