1,745 kes baharu Covid-19, 7 kematian

Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 2,276 pesakit sembuh berbanding 1,745 kes baharu Covid-19 dengan tujuh kematian.

Ini menjadikan 280,707 kes pulih daripada keseluruhan 305,880 kes Covid-19 dengan 1,148 kematian yang direkodkan setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 24,025 kes aktif dengan 95 daripada 195 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada jumlah kes baharu itu, beliau berkata sebanyak 1,743 kes ialah penularan tempatan dan dua lagi kes import.

Katanya, kes penularan tempatan membabitkan 1,037 warganegara dan 706 warga asing.

Selangor terus mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi, iaitu 640 kes.

“Daripada jumlah ini, 503 kes (78.6%) daripada kluster dan saringan kontak rapat,” katanya dalam kenyataan.

Ia diikuti Johor dengan 376 kes, Sarawak (139), Perak (136), Sabah (95), Kuala Lumpur (92), Pulau Pinang (90), Kedah (40), Melaka (36), Pahang (36), Kelantan (33), Negeri Sembilan (24), Terengganu (5) dan Putrajaya (3).

Tiada kes baru dilaporkan di Labuan and Perlis.

Hisham berkata, 47 kes yang dilaporkan berkaitan kluster di penjara membabitkan Telok Mas (20 kes), Tembok Pengkalan Chepa (13 kes), Damai Pelangi (13 kes) dan Penjara Jalan Sungai Jelok (1 kes).

Katanya, dua kematian dilaporkan di Kuala Lumpur, termasuk satu daripadanya ialah warga asing, serta masing-masing satu kematian di Selangor, Sarawak, Sabah, Johor dan Kelantan.

Katanya, enam daripada kematian itu membabitkan warganegara berusia 50 hingga 86 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang kronik.