18 mati dan 2,500 kes Covid-19 ini hari

Kementerian Kesihatan melaporkan 2,500 kes baharu Covid-19 dan 18 kematian, manakala 2,068 pesakit sembuh.

Ini menyaksikan 385,208 daripada 417,512 pesakit Covid-19 sudah pulih, manakala 1,551 kematian dicatatkan setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu itu, empat ialah kes import dan baki 2,496 kes penularan tempatan membabitkan 2,301 warganegara serta 195 warga asing.

Katanya, seramai 30,753 pesakit Covid-19 sedang dirawat di seluruh negara, dengan 186 daripada 352 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, Selangor mencatatkan jumlah kes terbanyak, dengan 637 kes.

“Daripada jumlah ini, 541 kes (84.9%) daripada kluster dan saringan kontak rapat,” katanya dalam kenyataan.

Ia disusuli Kelantan (401), Sarawak (356), Johor (205), Kuala Lumpur (200), Pulau Pinang (194), Kedah (103), Negeri Sembilan (97), Melaka (95), Perak (59), Sabah (57), Pahang (55), Terengganu (38) dan Putrajaya (tiga).

Labuan dan Perlis tidak melaporkan sebarang kes baharu.

Noor Hisham berkata, tujuh kematian dilaporkan di Selangor, tiga di Kuala Lumpur, masing-masing dua di Sarawak dan Kelantan, serta masing-masing satu kematian di Negeri Sembilan, Kedah, Johor serta Sabah.

Katanya, ia membabitkan 17 warganegara dan seorang warga asing berusia 29 hingga 87 tahun, dengan semua kecuali dua orang mempunyai latar belakang penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, jantung dan strok.