KOTA KINABALU: Seramai 1,821 individu telah melalui proses saringan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), kelmarin.
Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, proses saringan dilakukan 49 anggota kesihatan dari Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu bermula jam 9 pagi sehingga 11 malam.
Katanya, sebanyak 17 penerbangan telah mendarat di KKIA pada hari berkenaan.
“Terdapat empat penerbangan sewa khas yang membawa balik 1,026 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari Semenanjung dan Sarawak dan 13 penerbangan komersil yang membawa penerbangan 795 penumpang.
“Seramai 791 individu telah diambil sampel untuk ujian Covid-19,” katanya.
Christina berkata, selain memastikan semua penumpang diperiksa dan disaring di pintu masuk antarabangsa, anggota kesihatan turut menjalankan dekontaminasi di lokasi pemeriksaan dan persampelan selepas semua aktiviti selesai pada setiap operasi.
Tambah beliau, peningkatan jumlah kemasukan ke negeri ini menerusi pintu masuk udara dapat dilihat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke-empat terutama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Dalam perkembangan lain, dua restoran di Sandakan telah diarah tutup kerana gagal mematuhi penjarakan sosial.
Christina berkata, Unit Inspektorat dan Perundangan (UIP) Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) bersama agensi lain dalam operasi bersepadu telah memeriksa sebanyak 804 premis pada Rabu dan mendapati dua premis di Sandakan tidak mematuhi penjarakan sosial.
Jelas beliau, premis tersebut telah diarah tutup di bawah Seksyen 18(1)(f), Akta pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).-http://beritasabah.com

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad