18,600 pelajar IPT dikecualikan bayaran ujian Covid-19

PUTRAJAYA: Sejumlah 18,600 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari Sabah, Sarawak, Labuan dan Semenanjung yang tergolong dalam tiga kategori ditetapkan dikecualikan daripada dikenakan bayaran ujian Covid-19 di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, mereka adalah pelajar yang akan memulakan sesi pembelajaran fizikal dari Sarawak, Labuan dan Semenanjung ke Sabah; pelajar dari Sabah ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan; serta pelajar dari Semenanjung dan Labuan ke Sarawak.

Bercakap di majlis pelancaran buku bertajuk Impak Covid-19 Terhadap Insan, terbitan Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) secara maya semalam, Adham menganggarkan kos terlibat adalah sebanyak RM2.79 juta.

Buku tersebut dihasilkan sekumpulan penyelidik daripada Pusat Penciptaan Nilai dan Kesejahteraan Insan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM, berdasarkan pengalaman mendepani Covid-19 serta penyelidikan saintifik.

Menurut Adham, keputusan tersebut diambil selaras dengan usaha kerajaan mengekang penularan Covid-19, dengan mewajibkan semua pelajar tersebut menjalani ujian Covid-19 sebelum memulakan sesi pengajian.

Dalam perkembangan lain, Adham berkata, setakat ini, 80,336 individu telah menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech, majoritinya adalah petugas barisan hadapan yang disenaraikan dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, yang bermula pada 24 Feb.

Menurut beliau, kira-kira 271 juta penduduk dunia telah menerima suntikan vaksin Covid-19 dengan Amerika Syarikat merekodkan jumlah tertinggi iaitu 80.5 juta, diikuti China 52.5 juta, Kesatuan Eropah (35.6 juta) dan United Kingdom (21.5 juta).

Malaysia menduduki tangga ke-68 daripada jumlah keseluruhan negara yang telah dan sedang memberi suntikan vaksin Covid-19.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *