2.72 juta warga asing sudah terima paling kurang 1 dos vaksin

Seramai 2.72 juta warga asing menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 secara percuma setakat 22 Sept, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Adham Baba.

Beliau berkata, sejumlah 1.59 juta lagi sudah menerima dos lengkap vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Atas saranan pemberian vaksinasi secara percuma kepada bukan warganegara di bawah PICK, iaitu ‘tiada siapa selamat hingga semua orang selamat’, seramai 2.72 juta penduduk bukan warganegara telah diberi sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

“Sejumlah 1.59 juta bukan warganegara pula sudah diberi dos lengkap dengan percuma bagi memastikan vaksinasi dijangkau seramai mungkin terutamanya di kawasan kawalan wabak atau ‘epicentre’,” katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen.

Adham berkata, berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan yang diterbitkan pada 22 Ogos, bilangan penduduk bukan warganegara di negara ini adalah seramai 2.69 juta orang daripada 32.66 juta populasi negara.

Ia tambahan kepada jumlah pelarian dan pencari suaka yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) yang menyatakan seramai 179,455 pelarian daripada 56 negara berada di dalam negara setakat 31 Julai.