KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot nelayan asing Vietnam menceroboh perairan daerah ini dengan rampasan bernilai lebih RM4 juta.
Penahanan itu dijalankan Bot Cenderawasih 10 Zon Maritim Kudat yang sedang melaksanakan Op Pluto Timur, Op Cegah PATI dan Op Naga Timur, kira-kira 4.2 batu nautika timur laut Pulau Latoan, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, kejayaan itu hasil maklumat awam yang diterima pihaknya.
“Susulan maklumat itu, aset rondaan Bot Cenderawasih 10 yang sedang melaksanakan operasi digerakkan ke lokasi berkenaan.
“Sebaik tiba di kawasan sasaran, pasukan operasi mengesan dua bot nelayan asing Vietnam sedang leka menjalankan aktiviti perikanan haram,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, ketika cuba dihampiri, suspek bertindak memotong tali tunda serta membiarkan tali terjuntai panjang di bahagian belakang bot serta memasang palang besi di bahagian kiri dan kanan bot terbabit kerana enggan memberi kerjasama ketika diarah untuk berhenti.
“Namun helah itu gagal apabila berlaku aksi kejar mengejar selama 15 minit sebelum anggota APMM berjaya melompat ke atas bot nelayan asing Vietnam bagi menghentikannya.
“Selepas penggeledahan dilakukan, kedua-dua bot nelayan terbabit disyaki melakukan aktiviti menunda dan menangkap balat dengan penemuan peralatan yang diperbuat daripada besi padu yang direka khas untuk menangkap balat,” katanya.
Katanya lagi, pemeriksaan ke atas kedua-dua bot berkenaan juga turut menemui hampir 20 kilogram balat basah serta 2,000 liter diesel.
“Seramai 11 individu warga Vietnam berusia 25 hingga 54 tahun ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Semua yang terbabit termasuk bot serta hasil laut diiring masuk ke jeti untuk siasatan lanjut. Keseluruhan nilai rampasan termasuk bot serta peralatan yang digunakan dianggarkan lebih RM4 juta.
“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1956/63,” katanya. – Info X

More Stories
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad
Isu ‘Pusingan P’ di Jalan Kinarut Dibawa ke Peringkat Nasional
UPKO Tuaran Hormati Keputusan Fairuz Bandar, Ucapkan Selamat Maju Jaya