PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan 23 nelayan warga Vietnam selain merampas dua bot dengan nilai keseluruhan RM3 juta dalam operasi pada Khamis.
Pengarahnya, Erwan Shah Soahdi, berkata kedua-dua bot itu dirampas pada kedudukan 126 hingga 128 batu nautika dari muara Tok Bali selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan pada 7.22 pagi ketika rondaan dilakukan di sempadan perairan Malaysia-Vietnam.
“Kedua-dua bot pada awalnya tidak memberikan kerjasama dan cuba melarikan diri ke sempadan perairan negara apabila diberi arahan untuk menghentikan bot.
“Sehubungan itu kapal APMM bertindak memintas bot berkenaan dan melakukan ‘menaiki secara paksa’ untuk menghentikan pergerakan mereka dan akhirnya berjaya menahan bot pertama pada 8.39 pagi diikuti bot kedua pada 9.27 pagi,” katanya pada sidang media di pejabat APMM Kelantan di Tok Bali.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas bot pertama dan kedua mendapati masing-masing mempunyai 17 dan enam kru termasuk tekong berumur antara 19 hingga 63 tahun.
Erwan Shah berkata, pihaknya turut merampas kira-kira 1,000kg hasil laut, peralatan menangkap ikan, peralatan navigasi dan komunikasi serta bekalan 2,000 liter diesel dalam dua bot terbabit.
Beliau berkata, proses membawa balik kedua-dua bot itu mengambil masa lebih 24 jam sebelum tiba di jeti Maritim Kelantan pada 11 pagi, Jumaat.
Katanya, kedua-dua bot berkenaan disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan negara dan kes disiasat bawah Seksyen 15 (1) (a) kerana gagal mempamerkan dokumen kebenaran menangkap ikan.
Menurutnya, dua tekong disyaki melanggar Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985, manakala kru disiasat bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri sah.
More Stories
CADANGAN GARIS PANDUAN UNTUK ORANG ISLAM TIDAK RELEVAN DENGAN SABAH – KM HAJIJI
Remaja perempuan maut jatuh dari tingkat 16 kondominium
Sisa elektronik, bahan buangan RM19 juta dirampas di Tawau