KOTA KINABALU: Malaysia mencatatkan jumlah kes sembuh daripada jangkitan Covid-19 harian tertinggi, hari ini, iaitu seramai 236 orang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah, dalam sidang media hariannya di ibu negara, sebentar tadi, berkata, jumlah keseluruhan pesakit yang pulih dan sudah discaj dari hospital kini seramai 1,241 orang, iaitu 32.7 peratus dari keseluruhan kes.
Noor Hisham juga memaklumkan satu lagi kematian akibat jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan korban akibat wabak itu di negara ini adalah seramai 62 orang.
Kematian terbaru itu membabitkan lelaki warga Malaysia berumur 67 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.
Lelaki berkenaan juga mempunyai beberapa kontak rapat dengan jemaah tabligh Seri Petaling.
Dalam perkembangan sama, sebanyak 131 kes baru turut dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 3,793.
Seramai 102 pesakit kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 54 daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan./BERITA SABAH

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ