2,461 kes Covid-19 ini hari, lapan orang meninggal

Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 2,461 kes baharu Covid-19 dengan lapan kematian direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 4,782 kes sembuh dilaporkan dalam tempoh sama, iaitu masih kekal mengatasi jangkitan baharu menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya 244,753.

Katanya, semua jumlah kes baharu adalah penularan tempatan, tiada kes import dilaporkan hari ini.

Dengan lapan kematian direkodkan menjadikan angka korban Covid-19 setakat ini 1,051 kes.

Sehingga kini, jumlah jangkitan Covid-19 direkodkan dalam negara 280,272 kes.

Ketika ini, 34,468 sedang dirawat, dengan 207 di unit rawatan rapi (ICU) dan 91 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Memperincikan kes jangkitan baharu, Noor Hisham berkata Selangor terus melaporkan kes tertinggi iaitu 1,001.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 757 kes (75.6%) adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan,” katanya.

Sementara itu, Kelantan mencatat kenaikan mendadak iaitu 257 kes baharu berbanding 38 semalam, diikuti Johor (233).

Sebanyak 298 kes dilaporkan pula berkaitan kluster di penjara dan depot tahanan imigresen membabitkan kluster Tembok Bukit Besi (146), Tembok Pengkalan Chepa (50), Tembok Bendera (39), Tembok Tapah (33), Damai Pelangi (13), DTI Sepang 2 (8), Tembok Sungai Udang (6), dan kluster Tembok Mempaga (3).

Kes kematian hari ini melibatkan empat kes di Sarawak, dan masing-masing satu di Selangor, Sabah, Perak, serta Kelantan.

Semua kes kematian melibatkan warganegara.