Pesawat Malaysia Airlines dihiasi gambaran Jalur Gemilang yang membawa kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioTech selamat mendarat di Malaysia tepat 10 pagi.
Ia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan Malaysia Airlines MH604 dengan pesawat Airbus 330-300 yang dikendalikan MABkargo Sdn. Bhd (MASKargo).
Ketibaan bersejarah pesawat yang membawa 312,390 dos vaksin itu disambut Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Pesawat tersebut, yang membawa vaksin dari kilang Pfizer di Belgium, berlepas dari Puurs dan transit di Lapangan Terbang Leipzig Halle sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara Asia Pasifik lain, termasuk Malaysia.
Penghantaran vaksin dari KLIA ke stor simpanan di Subang sebelum diedarkan ke empat lagi lokasi simpanan lain di seluruh negara dikawal ketat pihak polis.
Antara penerima-penerima awal vaksin dalam fasa pertama program imunisasi yang bakal bermula 26 Feb ini adalah petugas barisan hadapan iaitu petugas-petugas Kementerian Kesihatan, dan anggota tentera, polis, Angkatan Pertahanan Awam, serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Selain itu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga dijangka menerima suntikan sulung vaksin itu pada hari pertama pelaksanaan program berkenaan.
More Stories
Remaja ditemui tergantung di tiang besi
DBKK sita barangan penjaja, gagal kemuka lesen sah
Guna dokumen palsu kemuka tuntutan, pengarah operasi institut latihan didenda RM60,000