KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) berjaya memotong 34 sambungan paip haram dalam Operasi Bersepadu Pemotongan Sambungan Haram tanpa meter yang dijalankan di Kawasan Suang Parai di sini.
Pengarah JANS Baharom Sogon berkata turut dirampas adalah 12 unit pam air yang digunakan untuk menambah kadar aliran air ke kawasan penempatan setinggan Kampung Bakau berhampiran paip aliran terbabit.
“Kesemua sambungan haram berkenaan dikenal pasti ditebuk melalui paip agihan yang membekalkan air kepada penduduk yang mempunyai meter air berdaftar di kawasan tersebut.
“Penyambungan haram ini antara punca yang menyebabkan tekanan air yang rendah di kawasan tersebut.
“Lebih parah kegiatan penyambungan haram yang melibatkan kawasan setinggan itu juga menyebabkan Kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW) di ibu negeri mencecah 38 peratus,” katanya menurut laporan Utusan Borneo, hari ini.
Beliau berkata JANS sebelum ini kerap melakukan operasi pemotongan di kawasan ini bagaimanapun masalah ini masih lagi berlarutan disebabkan faktor kawasan setinggan yang berhampiran dengan kawasan terbabit.
“Operasi seumpama akan dijalankan dari semasa ke semasa dan isu penyambungan haram terutamanya yang melibatkan utiliti memerlukan kerjasama bersepadu daripada semua pihak serta agensi berkaitan bagi memastikan masalah ini dapat diselesaikan.
“Usaha ini juga mampu memastikan penyampaian perkhidmatan bekalan air terawat yang berterusan kepada pengguna,” katanya.
Sementara itu salah seorang penduduk di Kampung Contoh Suang Parai Sainun Semar yang sudah mendiami perkampung itu sejak 2004 berkata mereka berhadapan masalah ketiadaan air paip sejak sebulan lalu.
“Masalah ini sebenarnya sudah lama berlarutan malah saya pernah melihat ada individu yang berada di kawasan berhampiran paip agihan untuk menjalankan aktiviti menyambung paip haram bagaimanapun saya tidak boleh berbuat apa-apa berikutan bimbang faktor keselamatan,” katanya.
Beliau berkata mereka terpaksa membeli bekalan air bersih untuk diminum setiap hari yang menelan kos mencecah ratusan ringgit setiap minggu.
“Kami juga terpaksa meminta bantuan air bersih daripada jiran sebelah kampung iaitu Kampung Pulau Penampang untuk kegunaan harian.
“Mujurlah mereka memahami keadaan masalah air di kampung ini dan menghulurkan bantuan seadanya,” katanya.
Beliau juga berharap agar operasi ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi membendung sepenuhnya kegiatan ini.
Sementara itu seorang lagi penduduk Moilin Mihoi juga menyarankan agar pihak kerajaan melaksanakan tindakan sewajarnya termasuk membuat saluran khas yang dapat mengalirkan bekalan air ke kawasan berkenaan.
Katanya kaedah sama seperti sistem elektrik yang dibekalkan ke penempatan setinggan menggunakan konsep meter pra-bayar yang sedang dilaksanakan di Kampung Forest Sandakan juga dialu-alukan dilaksanakan di sini untuk bekalan air bersih.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ