3,545 kes baru Covid-19 ini hari, 12 kematian

Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 3,545 kes baharu Covid-19 lebih tinggi berbanding kes sembuh dengan 12 kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 3,331 kes sembuh dilaporkan dalam tempoh sama, iaitu masih kekal mengatasi jangkitan baharu menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya 260,009.

Dengan 12 kematian direkodkan menjadikan angka korban Covid-19 setakat ini 1,088.

Dalam satu kenyataan, Noor Hisham berkata jumlah kumulatif jangkitan semasa kini adalah 291,774 kes.

Sehingga kini jumlah pesakit yang sedang dirawat 30,677 kes dengan 189 di unit rawatan rapi (ICU) dan 88 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Daripada jumlah jangkitan baharu dilaporkan hari ini 3,544 membabitkan penularan dalam negara dan satu kes import.

Sementara itu, Negeri Sembilan mencatatkan kes jangkitan tertinggi 1,392 (39.3%) mengatasi Selangor dengan 581 kes (16.4 %).

“Peningkatan kes mendadak di Negeri Sembilan adalah disebabkan oleh pengesanan aktif daripada Kluster Industri Sungai Gadut. Kluster ini telah diumumkan pada 22 Feb 2021 hasil saringan bersasar di tempat kerja yang melibatkan pekerja-pekerja sebuah kilang pembuatan produk kayu yang terletak di Kawasan Perindustrian Sungai Gadut, KM 11, Seremban,” katanya.

Ini diikuti Kuala Lumpur sebanyak 381, Sarawak (353), Johor (318), Perak (188), Sabah (105), Pulau Pinang (95), Kelantan (53), Melaka (26), Terengganu (22), Kedah (17), Pahang (8), Labuan (5), Putrajaya (1) dan Perlis tidak mencatatkan jangkitan baharu hari ini.

Sebanyak 29 kes (0.8%) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen yang membabitkan Kluster Tembok Sungai Udang (14 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (12 kes), Kluster Telok Mas (2 kes), dan Kluster Tembok Taiping (1 kes).

Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan tujuh kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dua kes di Selangor, dan masing-masing satu kes di Sabah, Terengganu, dan Pulau Pinang.

Sebanyak 11 kes kematian melibatkan warganegara dan satu kes bukan warganegara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *