3,680 KES BAHARU COVID-19, 7 KEMATIAN, PESAKIT ICU MENINGKAT

Kementerian Kesihatan (KKM) mencatatkan 3,680 jangkitan baharu Covid-19, mengatasi jumlah sembuh 1,858 dalam tempoh 24 jam lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kematian meningkat kepada 707 orang, selepas tujuh lagi kematian dilaporkan.

Terdapat 42,389 kes aktif dengan 122 daripada 314 pesakit di unit rawatan rapi (ICU) memerlukan bantuan pernafasan, meningkat berbanding 280 dilapor semalam.

Hisham berkata, daripada jumlah kes baharu itu sebanyak 3,674 kes membabitkan penularan tempatan dan enam kes import.

Sehingga kini, 151,018 pesakit sembuh daripada keseluruhan 194,114 kes Covid-19.

Katanya, tujuh kematian semuanya membabitkan warganegara berusia 55 hingga 84 tahun, yang mana kebanyakannya mempunyai latar belakang penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang kronik.

“Kes kematian hari ini melibatkan tiga dari Selangor, dua dari Perak, dan masing-masing satu dari Sarawak dan Sabah,” katanya.

Beliau berkata, Johor melaporkan kes harian tertinggi iaitu 1,069 yang mana 961 kes (89.9%) daripada kluster dan saringan kontak rapat.

“Ia diikuti Selangor yang mencatatkan 822 kes, Kuala Lumpur (698), Sabah (295), Perak (181), Negeri Sembilan (112), Pulau Pinang (101), Kedah (76), Sarawak (70), Terengganu (68), Melaka (63), Kelantan (60), Pahang (42), Putrajaya (19), Perlis (3) dan Labuan (1).

“Sebanyak 64 kes (1.7%) dilaporkan pula berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara membabitkan kluster Penjara Jalan Harapan (33 kes), kluster Tembok Renggam (16), kluster Damai Pelangi (9), kluster DTI Sepang (2), kluster Tembok Bukit Besi (2), kluster Tembok Sungai Udang (1), dan Penjara Jalan Sungai Jelok (1 kes),” katanya.