4×4 rempuh kereta di Papar, bayi 4 bulan maut

Seorang maut manakala tiga lagi cedera selepas kenderaan dinaiki keluarga berkenaan dirempuh pacuan empat roda dalam kejadian di Kilometer 20 Jalan Papar-Beaufort di sini petang semalam.

Lebih memilukan lagi apabila mangsa yang maut adalah seorang bayi lelaki berusia empat bulan manakala abangnya, 5, dan ibu bapanya turut cedera.

Kejadian yang dilaporkan berlaku pada jam 1.20 petang membabitkan sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux dan Perodua Myvi.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata, siasatan awal mendapati kereta pacuan empat roda yang dipandu lelaki berusia 40 tahun bergerak dari arah Papar menuju ke Membakut.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu kenderaan pacuan empat roda berkenaan dipercayai hilang kawalan sehingga masuk ke laluan bertentangan.

“Akibat daripada kejadian itu, kenderaan pacuan empat roda berkenaan dipercayai terus merempuh kereta dinaiki mangsa.

“Perodua Myvi berkenaan dipandu lelaki berusia 30 tahun bersama isteri dan anak lelakinya masing-masing berusia lima tahun dan empat bulan,” katanya.

Batholomew berkata, semua mangsa berjaya dikeluarkan pasukan bomba yang hadir membantu di lokasi kejadian.

Namun katanya, seorang bayi empat bulan disahkan maut oleh pasukan perubatan hospital berhampiran.

“Pemandu kereta pacuan empat roda pula hanya mengalami kecederaan ringan dalam kejadian berkenaan,” katanya.

Batholomew berkata, mayat mangsa bayi sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Papar untuk tindakan lanjut manakala ahli keluarga lain dihantar ke bahagian Kecemasan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya,” katanya. -Asia Times