5 jam padam kebakaran kabel TM di Sandakan

SANDAKAN: Bomba mengambil masa lebih lima jam untuk memadam kebakaran kabel Telekom Malaysia (TM) di tapak simpanan kabel TM, belakang SMK Tiong Hua, di sini, petang tadi.

Kebakaran dipercayai bermula kira-kira 3 petang itu menyebabkan asap tebal menyelubungi kawasan berkenaan.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 3.02 petang.

Katanya, seramai 16 pegawai dan anggota bersama fire rescue tander (FRT), Water Tanker dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan digerakkan ke tempat kejadian.

“Usaha memadam kebakaran turut dibantu kakitangan TM, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kebakaran membabitkan longgokan kabel telekom terpakai dengan anggaran keluasan 40×60 kaki terbakar sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pasukan bomba memadam kebakaran membabitkan kabel Telekom di tapak simpanan kabel Telekom, belakang SMK Tiong Hua, Sandakan. – Foto/Bomba

Menurutnya, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan tiga aliran, tiga pancutan termasuk satu foam dengan sumber air tangki jentera dan pili bomba.

“Operasi ditamatkan pada jam 8.13 malam dan tiada mangsa dilaporkan terbabit.

“Punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X