Lima lokaliti di Sabah dan dua di Kedah akan dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD selama 14 hari itu bermula 26 Jun hingga 9 Julai ini susulan peningkatan jangkitan Covid-19.
Di Kedah, PKPD membabitkan Politeknik Sultanah Bahiyah, Kulim dan Kawasan Perindustrian Bestgrade, Pokok Sena.
“Politeknik Sultanah Bahiyah, Kulim merekodkan 22 kes positif Covid-19 selepas 423 individu disaring dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.
“Kawasan Perindustrian Bestgrade, Pokok Sena, merekodkan sebanyak 27 kes positif Covid-19 telah dikesan hasil saringan ke atas 38 individu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, di Sabah PKPD membabitkan Kampung Muhibbah, Menggatal, Kota Kinabalu dengan 12 individu dikesan positif Covid-19, manakala Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan, Tawau, dengan 14 kes positif.
PKPD di negeri itu turut melibatkan dua lagi lokaliti, iaitu di Kampung Kuala Merotai, Kalabakan dan Kampung Tahak, Membakut, Beaufort dengan merekodkan seramai 24 disahkan positif Covid-19.
Turut dikenakan PKPD ialah Flat Indah Jaya, Sandakan, mencatat sebanyak 11 kes positif Covid-19 hasil daripada 252 ujian saringan.
Ismail turut memaklumkan, PKPD yang akan tamat pada 25 Jun bermula 11.59 malam, melibatkan Kampung Tajin, Kuala Berang, Terengganu, 3 taman perumahan di Temerloh, Pahang, Ladang Tereh Mill, Kluang, Johor dan Kampung Kolong 2, Kuching, Sarawak.
Sementara itu, penamatan awal PKPD melibatkan Kampung Lakai, Jelebu, Negeri Sembilan yang dijadualkan pada 27 Jun, turut ditamatkan esok.
Manakala, PKPD di beberapa lokaliti termasuk empat Rumah Panjang di Batang Oya, Dalat, Mukah, Sarawak yang dijadualkan tamat pada 4 Julai akan ditamatkan esok.
Dalam pada itu, Ismail berkata, semalam polis menahan 761 individu atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 741 dikompaun dan 19 direman.
“Antara kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka, rentas negeri/daerah tanpa kebenaran, individu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis, tiada penjarakan fizikal, tidak patuh arahan kawalan pergerakan, membawa penumpang berlebihan dan premis gagal patuhi arahan,” katanya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ