5 premis disyaki curi elektrik di KK, Telipok dan Tamparuli diserbu

KOTA KINABALU: Lima premis di sekitar Kota Kinabalu, Telipok dan Tamparuli diserbu pasukan penguatkuasa Energy Commission of Sabah (ECoS) dan Sabah Electricity (SE) kerana disyaki mencuri elektrik.

Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid, berkata, premis terbabit merangkumi pengguna industri, komersil dan rumah di penempatan setinggan.

Katanya, operasi bersepadu yang diketuai Jabatan Penguatkuasaan dan Operasi Wilayah ECoS itu dilaksanakan pada 24,25, dan 27 Februari lalu.

Beliau berkata, bagi kes yang melibatkan pengguna industri dan komersial, pelaku akan disiasat di bawah Seksyen 61(3) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 yang boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Kes melibatkan rumah setinggan yang dikesan menggunakan elektrik tanpa melalui meter pula akan disiasat mengikut Seksyen 61(3) dan jika didapati bersalah, pelaku boleh dikenakan denda tidak kurang RM1,000 hingga tidak RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Premis yang disyaki membekalkan elektrik ke beberapa rumah lain tanpa kelulusan daripada syarikat utiliti pula akan disiasat mengikut Seksyen 61(8) yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kes membekalkan bekalan elektrik ke premis lain tanpa lesen, pesalah boleh didakwa di bawah Seksyen 8(1)(b) dan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Nasser turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengusik meter elektrik atau membuat pengubahsuaian haram.

“Kegiatan ini salah di sisi undang-undang dan mengundang risiko keselamatan yang tinggi kepada pengguna dan orang ramai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, dua pemilik premis, masing-masing restoran makanan segera dan kedai perabot di Kota Kinabalu didakwa di mahkamah masing-masing pada 13 dan 19 Februari lalu dan dijatuhkan hukuman denda RM20,000 hingga RM35,000.

Selain itu katanya, seorang pemilik kilang ais di Sandakan didakwa di mahkamah pada 17 Februari, namun tidak mengaku bersalah dan tarikh sebutan semula kes itu ditetapkan pada 19 Mac 2025.

Nasser berkata, ketiga-tiga kes itu adalah hasil serbuan bersepadu yang dilaksanakan ECoS dan SE pada 2024. – Info X