5,403 kes Covid-19 ini hari, yang sembuh 5,311

PELABUHAN KLANG 10 DISEMBER 2020. Petugas kesihatan melakukan ujian saringan COVID-19 terhadap pekerja warga asing di kawasan perindustrian Pulau Indah, Pelabuhan Klang bagi mencegah penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja asing. STR/FAIZ ANUAR

Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 5,403 kes baharu Covid-19 dikesan dalam tempoh 24 jam lalu.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah keseluruhan jangkitan kini meningkat kepada 2,516,255 kes.

Hisham berkata, terdapat 5,311 kes pulih, menjadikan jumlah sembuh jangkitan Covid-19 kini 2,425,054 kes.

Terdapat 270 kes memerlukan bantuan pernafasan dan 545 kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

Sementara itu, beliau berkata, berdasarkan data terkini pada 8 Nov, nilai RT Malaysia adalah 0.94.

Katanya, negeri mencatatkan nilai RT melebihi 1.0 adalah Putrajaya, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor.

Perlis, Melaka, Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak, Johor, Sarawak, Sabah, Pulau Pinang dan Labuan pula mencatatkan nilai RT bawah 1.0.