55 Ahli Parlimen Menuntut Penambahan 13 Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen

Kami, penandatangan yang merupakan 62.5% daripada 88 Ahli Parlimen persendirian – mewakili barisan pembangkang dan bangku belakang (backbench) kerajaan – yang telah dinafikan daripada tanggungjawab jawatankuasa, menggesa agar sekurang-kurangnya 13 lagi jawatankuasa pilihan khas parlimen ditubuhkan supaya semua kementerian dapat dipantau dengan berkesan dan semua ahli persendirian Parlimen dipertanggungjawabkan sekurang-kurangkan kepada satu PSSC.

Kesemua ahli Parlimen seharusnya berpeluang untuk mengambil bahagian secara berkesan dalam proses penggubalan undang-undang serta pembuatan dasar nasional.  Parlimen tidak boleh dianggap sebagai batu loncatan sahaja untuk menjadi menteri dan timbalan menteri. Sebaliknya, sementara barisan menteri dan timbalan menteri menguruskan negara ini secara sepenuh masa, ahli-ahli parlimen yang lain seharusnya diberikan ruang dan peluang untuk melaksanakan peranan mereka dalam memantau kerajaan juga secara sepenuh masa.

Sekalipun apabila Parlimen tidak bersidang untuk meluluskan undang-undang dan berdebat mengenai dasar, Ahli-ahli Parlimen persendirian mesti dibenarkan untuk melaksanakan tanggungjawab semak dan imbang kepada Kerajaan menerusi jawatankuasa-jawatankuasa pilihan khas (PSSC). Setiap jawatankuasa perlu berfokus kepada satu portfolio atau kluster kementerian, dan perlu bermesyuarat secara kerap sepanjang tahun untuk meneliti isu-isu dan mendengar pandangan masyarakat awam, organisasi masyarakat madani, kumpulan perniagaan dan penjawat awam yang berkaitan.

Malangnya, kita sekarang mempunyai 30 portfolio kementerian tetapi hanya 9 PSSC yang meneliti 20 portfolio kementerian, malah  sesetengah portfolio penting digabung dan diletakkan di bawah satu jawatankuasa sahaja. (Jadual 1) Daripada 220 ahli parlimen sedia ada, selain 2 timbalan speaker dan 64 menteri, duta khas atau timbalan menteri, terdapat 154 ahli parlimen backbenchers kerajaan dan pembangkang yang boleh menganggotai jawatankuasa. Antara jawatan-jawatankuasa ini, PSSC yang kini dihadkan keanggotaannya kepada 7 ahli parlimen dan  Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang mempunyai 14 ahli parlimen lebih kerap bermesyuarat, manakala 4 jawatankuasa tetap yang lain: Jawatankuasa Pemilih, Jawatankuasa Dewan, Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat dan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berjumpa hanya sekalikala saja.

Dengan hanya 9 PSSC, dan terdapat beberapa orang ahli parlimen yang mengambil tempat dalam beberapa PSSC,  hanya sejumlah 61 Ahli Parlimen yang dapat menyertai PSSC dan PAC manakala 5 ahli Parlimen lain duduk saja dalam satu atau lebih daripada 4 jawatankuasa tetap yang lain.. Ini menjadikan seramai 88 (40%) anggota parlimen tanpa tanggungjawab Eksekutif, Dewan ataupun jawatankuasa. (Jadual 2) Sekiranya jumlah ahli Parlimen bagi setiap PSSC tidak ditambah, maka Parlimen memerlukan 13 PSSC lagi untuk membolehkan semua ahli Parlimen terlibat dalam pembuatan dasar.

Oleh kerana Parlimen bersidang secara purata hanya 70 hari setahun meskipun bagi tahun-tahun sebelum pandemik Covid (2000-2019), ini bermakna walaupun Parlimen kembali kepada keadaan normal pra-Covid, kami sebagai sebahagian daripada 40% ahli parlimen yang dikecualikan, akan dinafikan peluang untuk melaksanakan tanggungjawab semak dan imbang kepada Eksekutif dalam tempoh 8 daripada 12 bulan (setelah mengambilkira hari Jumaat dan hujung minggu ketika Parlimen tidak bersidang).

Kalau mengikut jawatan eksekutif atau perundangan tertinggi pernah disandang, antara 88 ahli parlimen ini terdapat 2 mantan Perdana Menteri, 1 mantan Timbalan Perdana Menteri, 1 mantan Ketua Pembangkang Parlimen, 4  Ketua Menteri/mantan Ketua Menteri, 3 Timbalan Ketua Menteri/mantan Timbalan Ketua Menteri, 1 mantan Timbalan Speaker, 16 mantan Menteri, 1 mantan Duta Khas, 15 mantan Timbalan menteri, 1 mantan Setiausaha Parlimen, 1 mantan Speaker Negeri, 2 mantan ahli Exco Negeri, 1 mantan Pembantu Menteri Negeri, 4 mantan Pengerusi PSSC, 2 mantan ahli PAC dan 25 orang mantan ahli PSSC, keseluruhannya seramai 80 orang ahli yang akan dapat memberi sumbangan berdasarkan pengalaman mereka yang luas. (Jadual 3)

Berapa banyak bakat, pengalaman dan kepakaran kami yang disia-siakan apabila kami tidak diberikan ruang serta peluang untuk berfungsi sepenuhnya? Untuk apa kami dibayar elaun RM 16,000 sebulan tetapi tidak dapat mewakili rakyat dalam penambahbaikan pentadbiran sepanjang tahun?  Kenapa tidak ditubuhkan 13 PSSC tambahan agar kesemua 88 daripada kami diberi peluang untuk menganggotai satu PSSC dan seterusnya melaksanakan tanggungjawab semak dan imbang kepada Eksekutif sepanjang tahun?

Mengapa? Kononnya, ini kerana Parlimen tidak mempunyai sumber yang mencukupi untuk menampung lebih daripadai 9 PSSC.  Andaikan sekalipun jika setiap PSSC memerlukan perbelanjaan 300,000 setahun untuk sokongan secretariat dan selebihnya, tambahan 13 lagi PSSC cuma akan memerlukan perbelanjaan sebanyak RM 3,900,000. Bukankan tindakan untuk mengelakkan perbelanjaan RM 3,900,000 setahun sehingga berlaku kekurangan PSSC dan pada masa yang sama membazirkan RM 11,264,000 untuk elaun 8 bulan bagi 88 ahli-ahli Parlimen dengan menafikan sumbangan mereka dalam pembuatan dasar negara ibarat untung secupak, rugi segantang?

Ia juga harus ditegaskan bahawa Parlimen kita memiliki PSSC yang berterusan hanya bermula pada tahun 2019 sebagai sebahagian daripada langkah penambahbaikan parlimen yang dimulakan oleh kerajaan Pakatan Harapan di bawah kepimpinan mantan Speaker Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof. Sebelum tahun 2019, sebahagian besar sehinggalah dua pertiga ahli-ahli Parlimen dikecualikan daripada pembuatan dasar nasional selama 8 bulan bagi setiap tahun.

Pengecualian ahli-ahli Parlimen persendirian adalah hasil daripada pemikiran oligarki pasca-1969 yang menganggap hanya sekadar menteri dan penjawat awam tertinggi layak diberikan amanah  untuk mentadbir urusan negara, sementara ahli-ahli parlimen yang lain (termasuk backbenchers kerajaan) tidak cukup bijak atau tidak cukup bertanggungjawab untuk diamanahkan dengan kuasa semak dan imbang terhadap Eksekutif.

Malangnya, corak pemikiran autoritarian ini masih wujud sehingga kini, walaupun kita kini berada dalam tahun 2021, dan menyebabkan negara kita semakin lumpuh dengan kehilangan nyawa dan pencarian hidup akibat pandemik Covid-19. Meniru apa yang berlaku pada tahun 1969, Proklamasi Darurat bukan sahaja telah menangguhkan Parlimen, tetapi juga telah mengalihkan pusat kekuasaan Eksekutif daripada kabinet dengan 32 menteri kepada Majlis Keselamatan Negara yang terdiri daripada 5 menteri dan 4 pegawai tertinggi dalam  perkhidmatan awam, tentera dan polis. Dengan asas politik yang semakin sempit dalam pembuatan dasar disamping ketiadaan akauntabiliti parlimen, Rakyat Malaysia menjadi mangsa utama dalam kesan dasar awam caca merba, hasil daripada pembuatan yang tidak menyeluruh, penguatkuasaan ‘dua darjat’ sehingga kehilangan keyakinan oleh orang awam dan masyarakat antarabangsa – sepanjang 8 bulan perintah Darurat berkuatkuasa. 

Dengan pembukaan semula Parlimen, kami mendesak agar Kerajaan Muhyiddin untuk meninggalkan mentaliti oligarki kolot ini dan sebaliknya menerapkan nilai-nilai akauntabiliti, ketelusan serta menerima penyertaan dalam pemerintahan.

Para menteri, timbalan menteri dan pegawai kerajaan kanan seharusnya melibatkan ahli-ahli Parlimen pembangkang dan backbenchers kerajaan sebagai sekutu dengan membenarkan setiap daripada kami untuk menganggotai sekurang-kurangnya satu PSSC agar dapat sama-sama membantu kementerian berkaitan untuk melaksanakan tugas dengan lebih berkesan. Dengan memberikan PSSC kuasa penyiasatan untuk mencadangkan penambahbaikan dasar dan undang-undang, Eksekutif tentunya akan dapat melaksanakan  dengan lebih baik kuasanya dalam pengawalan dan pengagihan.

9 PSSCs semasa mengecualikan atau meminggirkan sekurang-kurangnya 14 portfolio kementerian, termasuklah kementerian yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, luar negeri, alam sekitar, perumahan, pengangkutan dan sumber manusia.

Sekiranya jumlah MP bagi setiap PSSC tidak ditambahkan, kami menyeru Kerajaan untuk mempertimbangkan 13 PSSC baharu bagi portfolio-portfolio berikut:

Jawatankuasa Pemilih yang memutuskan jumlah dan komposisi jawatankuasa parlimen juga perlu diperluaskan untuk merangkumi lebih banyak wakil daripada barisan pembangkang, yang pada masa ini tidak mempunyai wakil daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Warisan Sabah ( Warisan), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Kami juga menggesa Kerajaan agar membenarkan semua jawatankuasa parlimen untuk bermesyuarat secara dalam talian supaya dapat dilakukan dengan lebih kerap sesuai dengan keadaaan semasa dan dapat menjimatkan elaun perjalanan ahli-ahli parlimen untuk menghadiri mesyuarat jawatankuasa yang dilakukan ketika Parlimen tidak bersidang.

Kami menyambut baik respon segera dan positif Menteri Undang-Undang Datuk Seri Takiyuddin Hassan terhadap cadangan penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penambahbaikan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang diusulkan oleh Timbalan Speaker Datuk Seri Azalina Othman Said pada 23 Julai. Kami berharap agar Kerajaan juga akan mengambil tindakan positif yang serupa terhadap seruan kami untuk menubuhkan 13 PSSC lagi. Kami juga berharap Datuk Seri Takiyuddin Hassan akan mempertingkatkan lagi reformasi parlimen yang telah dimulakan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

Sekiranya Kerajaan dapat menunjukkan keinginan dan keikhlasannya untuk memerintah secara inklusif dan profesional, ia dapat membangunkan semangat kerjasama pelbagai parti dan kestabilan politik, mengubati defisit kepercayaan dan memulihkan keyakinan masyarakat terhadap polisi-polisi berkaitan pandemik dan ekonomi. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin seharusnya mengambil peluang terhadap pembukaan semula Parlimen untuk memulakan lembaran baharu dalam demokrasi kita.

Penandatangan kenyataan bersama daripada 88 ahli parlimen yang tidak berada dalam jawatankuasa memohon untuk penambahan 13 Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen kepada 9 jawatankuasa sedia ada.

  1. YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, MP for P170 Tuaran
  2. YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, MP for P100 Pandan
  3. YB Lim Kit Siang, MP for P162 Iskandar Puteri
  4. YB Chow Kon Yeow, MP for P049 Tanjong
  5. YB Lim Guan Eng, MP for P043 Bagan
  6. YB Datuk Dr Jeffrey Gapari Kitingan, MP for P180 Keningau
  7. YB Datuk Christina Liew Chin Jin, MP for P190 Tawau
  8. YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, MP for P057 Parit Buntar
  9. YB Kulasegaran Murugeson, MP for P065 Ipoh Barat
  10. YB Datuk Seri Dr Haji Dzulkefly Ahmad, MP for P096 Kuala Selangor
  11. YB Teresa Kok Suh Sim, MP for P122 Seputeh
  12. YB Anthony Loke Siew Fook, MP for P128 Seremban
  13. YB Yeo Bee Yin, MP for P145 Bakri
  14. YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, MP for P146 Muar
  15. YB Dr Maszlee Malik, MP for P151 Simpang Renggam
  16. YB Baru Bian, MP for P214 Selangau
  17. YB Tan Kok Wai, MP for P123 Cheras
  18. YB Dato’ Mahfuz Omar, MP for P008 Pokok Sena
  19. YB Sim Chee Keong, MP for P045 Bukit Mertajam
  20. YB Sim Tze Tzin, MP for P052 Bayan Baru
  21. YB Muhammad Bakhtiar Wan Chik, MP for P053 Balik Pulau
  22. YB Sivarasa Rasiah, MP for P107 Sungai Buloh
  23. YB Mohamed Hanipa Maidin, MP for P113 Sepang
  24. YB Dato’ Masir Kujat, MP for P202 Sri Aman
  25. YB Datin Paduka Dr Tan Yee Kew, MP for P116 Wangsa Maju
  26. YB Sivakumar Varatharaju Naidu, MP for P066 Batu Gajah
  27. YB Wong Hon Wai, MP for P048 Bukit Bendera
  28. YB Su Keong Siong, MP for P070 Kampar
  29. YB William Leong Jee Keen, MP for P097 Selayang
  30. YB Charles Anthony Santiago, MP for P110 Klang
  31. YB Syed Ibrahim Syed Noh, MP for P144 Ledang
  32. YB Datuk Haji Hasanuddin Mohd Yunus, MP for P101 Hulu Langat
  33. YB Noor Amin Ahmad, MP for P002 Kangar
  34. YB Chan Ming Kai, MP for P009 Alor Setar
  35. YB Dr Azman Ismail, MP for P010 Kuala Kedah
  36. YB Kasthuriraani Patto, MP for P046 Batu Kawan
  37. YB Sanisvara Nethaji Rayer Rajaji, MP for P050 Jelutong
  38. YB Kesavan Subramaniam, MP for P062 Sungai Siput
  39. YB Wong Tack, MP for P089 Bentong
  40. YB Maria Chin Abdullah, MP for P105 Petaling Jaya
  41. YB Lim Lip Eng, MP for P114 Kepong
  42. YB Fong Kui Lun, MP for P120 Bukit Bintang
  43. YB Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, MP for P121 Lembah Pantai
  44. YB Cha Kee Chin, MP for P130 Rasah
  45. YB Datuk Dr Hasan Bahrom, MP for P133 Tampin
  46. YB Rusnah Aluai, MP for P136 Tangga Batu
  47. YB Pang Hok Liong, MP for P142 Labis
  48. YB Chan Foong Hin, MP for P172 Kota Kinabalu
  49. YB Awang Husaini Sahari, MP for P173 Putatan
  50. YB Vivian Wong Shir Yee, MP for P186 Sandakan
  51. YB Karupaiya Mutusami, MP for P017 Padang Serai
  52. YB Teh Kok Lim, MP for P060 Taiping
  53. YB Tony Pua Kiam Wee, MP for P106 Damansara
  54. YB Noorita Sual, MP for P181 Tenom
  55. YB Wong Ling Biu, MP for P208 Sarikei