Ketibaan kapal-kapal di pangkalan KD Sri Sandakan sempena 6th Trilateral Maritime Patrol (TMP) Port Visit pagi ini
SANDAKAN : Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) telah diberi penghormatan menjadi tuan rumah bagi 6th Trilateral Maritime Patrol (TMP) Port Visit yang diadakan di bawah inisiatif Trilateral Cooperative Arrangement (TCA).
Dalam kunjungan ini sebuah kapal dari Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Laut (TNI-AL), KRI HIU yang diperintah oleh Let Kol Laut Ahmad Ahsan dan BRP GENERAL MARIANO ALVAREZ dari Tentera Laut Filipina (TLF) yang diterajui oleh Kdr Raymond F. Umbac.
Aset kedua-dua negara ini merapat di Tambatan Pangkalan Sandakan (TPS) bersempena program ini bagi mengikuti aktiviti-aktiviti yang telah dirancangkan selama 3 hari bermula 29 sehingga 31 Julai 2019 ini.
Ketibaan kedua-dua kapal TNI-AL dan TLF di Pangkalan TLDM Sandakan telah disambut oleh Timbalan Panglima Wilayah Laut 2, Kepten Azeman Yusoff dan warga Pangkalan TLDM Sandakan. Turut hadir sama dalam upacara ini adalah delegasi dari kedutaan Indonesia dan Filipina yang diwakili oleh Penasihat Pertahanan negara masing-masing.
Program 6th TMP Port Visit ini merupakan kesinambungan daripada pelancaran TMP INDOMALPHI (Indonesia – Malaysia – Filipina) pertama yang telah dilaksanakan di Zamboanga, Filipina pada 13 hingga 15 November 2017 yang lalu. Objektif pelaksanaan program ini adalah untuk meningkatkan kerjasama dan interoperabiliti dalam memantapkan pemahaman di antara ketiga-tiga buah angkatan Tentera Laut negara terlibat dalam mencegah kegiatan jenayah rentas sempadan khasnya ancaman penculikan di laut dan aktiviti militan pihak pelampau.
Adalah dimaklumkan bahawa segala usaha menjaga keselamatan perairan maritim juga dijayakan oleh Maritime Command Centres (MCC) dari ketiga-tiga negara yang menjadi pusat koordinasi operasi dan perkongsian maklumat perisikan. MCC ditubuhkan untuk mengaktifkan pemantauan, komunikasi dan penyelarasan operasi TMP di antara ketiga-tiga buah negara ini. Malaysia Maritime Command Centre (MMCC) yang kini diketuai oleh Pengarahnya, Kepten Pulendran Paramasivam di Tawau manakala untuk Indonesia di Tarakan dan Filipina di Tawi-tawi.
Program 6th TMP Port Visit akan memperlihatkan pelbagai aktiviti bakal dijalankan bersama warga kedua-dua buah kapal negara sahabat terlibat merangkumi ceramah, perbincangan, perkongsian maklumat dan disusuli dengan eksesais bersama di lautan. Kapal TLDM yang akan terlibat dalam eksesais bersama di laut adalah KD PARI yang diterajui oleh Lt Kdr Mohd Ridzuan Samsudin . Selain itu, lawatan dan aktiviti kebudayaan juga dirancangkan bagi memperkenalkan budaya dan tempat pelancongan di sekitar bandar Sandakan.
Kerjasama dan koordinasi berterusan TLDM bersama Tentera Laut serantau khasnya Indonesia dan Filipina membuktikan betapa eratnya hubungan yang telah terjalin sekian lama di antara ketiga-tiga negara ASEAN ini. Di samping itu, kerjasama ini telah diiktiraf sebagai platform yang terbaik bagi menyelesaikan isu-isu yang berpotensi mengancam kepentingan bersama di kawasan Laut Sulu dan Sulawesi. Inisiatif Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) menyediakan ruang dan peluang untuk ketiga-tiga negara mengenalpasti aktiviti-aktiviti yang dapat memperkasakan lagi keupayaan dan kapasiti yang sedia ada dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan sentiasa terpelihara.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ