7 TEMBAKAN MENEMBUSI OTAK, PUNCA GAJAH MATI DI KINABATANGAN

KINABATANGAN: Punca kematian gajah yang ditemui mati di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Imbak, Tongod, di sini, disahkan akibat tujuh tembakan yang menembusi otak gajah.

Itu hasil bedah siasat yang dijalankan oleh unit Veterinar Sepilok yang menjalankan siasatan penuh terhadap bangkai haiwan terpelihara berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, pihak veterinar turut berjaya mengeluarkan empat butir serpihan anak peluru dari tengkorak kepala gajah berkenaan.

Katanya, siasatan di tempat kejadian mendapati bangkai berkenaan adalah gajah jenis Borneo Pygmy jantan berusia lingkungan 5 hingga 7 tahun.

“Pemeriksaan juga mendapati hampir keseluruhan kulit gajah berkenaan dilapah manakala kepala dan kaki kanan depan juga dipercayai dipotong.

“Gajah berkenaan dipercayai mati dalam tempoh tiga hingga empat hari sebelum ia ditemui,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Dzulbaharin berkata, pemeriksaan di kawasan sekitar kemudiannya berjaya menemui kedua belah telinga dan kaki depan bangkai gajah berkenaan pada jarak 11 meter dari bangkainya.

Selain itu katanya, pemeriksaan lanjut seterusnya juga berjaya menemui kepala gajah berkenaan yang ditutup dengan daun pelepah sawit dipercayai bertujuan cuba disembunyikan.

“Kedua-dua gading gajah masih dalam keadaan baik namun belalai sudah dipotong.

“Setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 25(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997,” katanya.

Sehubungan itu, Dzulbaharin berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Norazmeer Azmi ditalian 089-561890 atau 013-6309080 untuk membantu siasatan lanjut.

Dalam kejadian jam 8 pagi Rabu lalu, pengurus ladang berkenaan membuat laporan polis selepas menemui bangkai gajah berkenaan.

Bertindak atas maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kinabatangan bersama Jabatan Hidupan Liar Kinabatangan dan unit Veterinar Sepilok dikerah ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 172 km dari IPD Kinabatangan untuk menjalankan siasatan. – ASIA TIMES

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *