KOTA KINABALU: Ops Bersepadu peringkat kebangsaan bagi penguatkuasaan pelepasan asap hitam yang dianjurkan oleh Ibu Pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut dilaksanakan di Sabah.
Timbalan Pengarah, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sabah, Yaras Yusup berkata operasi dengan kekuatan 60 anggota daripada 5 agensi penguatkuasa ini telah dijalankan di kawasan Taman Teluk Likas, Kota Kinabalu bermula jam 9.30 pagi dan berakhir 12.30 tengahari tadi.
96 buah kenderaan enjin diesel dan enjin petrol menjalani pemerhatian secara visual dan 16 buah kenderaan telah diuji menggunakan alat pengukur petrol dan meter asap.
“Hasil ujian mendapati terdapat 3 kenderaan yang akan disyor kompaun manakala 4 kenderaan diberi notis untuk uji semula di bawah Seksyen 48A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Hasil daripada operasi tersebut, Ibu Pejabat Polis Trafik Kota Kinabalu telah mengeluarkan 16 saman manakala Jabatan Pengangkutan Jalan mengeluarkan 57 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas kepada setiap kenderaan yang diperiksa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yaras berkata Kementerian Pelancongan juga telah melakukan pemeriksaan ke atas 15 buah van dan pelancong manakala Agensi Anti Dadah Kebangsaan menjalankan ujian air kencing ke atas 16 individu.
Yaras menegaskan pihak JAS Negeri Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik kenderaan yang gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Petrol) 1996.
“Tindakan tegas seperti kompaun dan pendakwaan di Mahkamah boleh diambil sekiranya kenderaan yang diperiksa gagal melepasi ujian pengukuran asap hitam bagi kenderaan enjin diesel dan gas bagi kenderaan enjin petrol.
“Kawalan bunyi bising motosikal akan dilaksanakan pada operasi yang seterusnya,” katanya.
More Stories
Pembinaan semula jambatan Pekan Tuaran – Sg Damit disenaraikan dalam RP5 RMKe-12 dengan kos RM30 juta: Kementerian Ekonomi
‘DUN Sabah bubar Ogos 2025’
Jelajah UPKO Gelombang Pantai Timur Cawangan Baharu Kg Sg Beruang Libaran dibentuk, perjuangkan hak rakyat di akar umbi