8 remaja pecah kedai, curi alat ganti motosikal dicekup polis

KOTA MARUDU: Polis menahan lapan remaja lelaki termasuk berusia 13 tahun selepas terbabit dalam kegiatan jenayah pecah masuk kedai dan curi pelbagai alat ganti motosikal di daerah ini, awal pagi tadi.

Semua suspek berusia 13 hingga 17 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu, di tiga lokasi berbeza menerusi Op Kesan dan Op Pintu, kira-kira jam 3 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, operasi diketuai Pegawai Risikan dan Operasi (RO) BSJ IPK Kota Marudu, Inspektor Bahrun Dining.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin.

“Hasil operasi berjaya menahan beberapa suspek yang dipercayai terbabit dalam kegiatan jenayah pecah masuk kedai dan kes curi pelbagai alat ganti motosikal yang berlaku di daerah ini.

“Dengan tertangkapnya semua suspek, pasukan operasi merampas barang yang disyaki dicuri bernilai kira-kira RM20,000,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, semua suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, beliau berkata, kerjasama berterusan amat diharapkan daripada orang ramai menyalurkan maklumat dalam usaha membanteras dan menyelesaikan kes jenayah dan dadah di daerah ini dan Pitas.

Katanya, usaha berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan masyarakat di daerah ini merasa selamat dan selesa. – Info X